Khamis, 30 Ogos 2018

'Azmin tak bertanggungjawab, lambat umum tanding PKR'

 



Calon ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Akmal Nasir menyifatkan penyandang jawatan Timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali sebagai seorang yang tidak bertanggunjawab.

Akmal berkata ia berikutan kelewatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mengumumkan pencalonannya sebagai orang kedua terpenting PKR.

“Kalau kita ingat pencalonan yang berlaku bulan lepas pun terdapat pertikaian macam mana saudara Azmin boleh terlambat umumkan jawatan mana beliau hendak bertanding.

"Perkara itu bagi saya satu tindakan yang tidak bertanggunjawab,” katanya dalam forum Malaysia Baru: Masih relevankah reformasi di Kepong, malam tadi.

15 Julai lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya mengumumkan beliau akan bertanding bagi jawatan presiden bagi pemilihan PKR akan datang.

Ketua umum PKR itu berkata keputusan dicapai selepas perbincangan dengan Presiden parti yang juga isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Azmin Ali serta kepimpinan lain.

Selanjutnya, ia diikuti dengan pengesahan Rafizi Ramli pada 26 Julai untuk bertanding jawatan timbalan presiden, sementelah penyandangnya masih berteka-teki mahu bertanding atau tidak.
'Azmin tak bersama Anwar'

Mengulas lanjut, Akmal yang juga Anggota Parlimen Johor Bahru berkata jelas menunjukkan bahawa Azmin tidak bersama dengan presiden PKR itu.

“Kalau betul dia bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kena nyatakan dari awal.

“Maksudnya, Azmin, kalau betul-betul kamu nak berganding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila Anwar umum sahaja tanding sebagai presiden terus keluarkan kenyataan sokong dan saya sedia jadi pembantu sebagai yang kedua atau pun apa-apa nomborlah,” katanya.

Azmin menghantar wakilnya, Amiruddin Shaari untuk menghantar borang pencalonannya sebagai timbalan presiden PKR dan bakal berdepan Rafizi Ramli untuk jawatan itu.




Pasukan Rafifizi yang menggelarkan kem mereka Reformasi 20 Tahun mula menjelajah ke seluruh negara berkempen menggunakan sentimen Azmin dinaungi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin yang mahu menggagalkan usaha menjadikan Anwar sebagai perdana menteri kelapan.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Dr Mahathir, malah Azmin turut menyatakan kesetiaannya kepada PKR dalam kempennya.

Forum malam tadi turut dihadiri Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas aktivis mahasiswa, Ahmad Shukri Razab, yang juga berada dalam pasukan menyokong Rafizi sebagai timbalan presiden.

Akmal bagaimanapun berkata, pasukannya itu sudah "menang" pemilihan kali ini apabila berjaya menjadikan Anwar presiden PKR tanpa dicabar sesiapa.

"Kita sudah menang sebenarnya apabila Anwar menjadi calon tunggal presiden PKR dan beliau akan memimpin parti selepas tamat pemilihan," katanya.

Nik Nazmi berkata, Rafizi adalah wira yang tidak didendang yang membolehkan Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, namun tidak mempunyai tempat dalam kerajaan.




"Ini pertandingan dalam parti, kita berbahas dan berbalah tetapi selepas pemilihan kita kena maju ke hadapan.

"Dalam pemilihan ini saya melihat Rafizi sebagai 'unsung hero' yang memainkan peranan sangat besar, semuanya ada pengaruh Rafizi. Saya sebagai orang politik nak buat sebegitu rupa pun tak mampu.

"Bagi saya dia jurutera, akauntan, tapi dia tiada peranan dalam kerajaan. Dia perlu ada peranan dalam parti.

"Saya rasa untuk bawa parti ke depan, peranan Anwar, Kak Wan (Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Rafizi sangat besar," katanya.

Shukri pula berkata, sikap tegas Rafizi dalam memperjuangkan keadilan juga tidak berubah sama ada ketika PKR berada dalam pembangkang mahu pun selepas membentuk kerajaan bersama pentadbiran HARAPAN.

"Kita boleh nampak betapa tegasnya Rafizi, dia yang mula-mula tegur kerajaan dahulu sampai hilang semuanya.

"Begitu juga dia sekarang, dia yang memulakan teguran dalam kerajaan Pakatan Harapan dan bermati-matian nak menangkan kerajaan hari ini.

"Kalau kita jadi dia kita berhenti dan tunggu jawatan...tapi dia tidak, konsisten dengan pendirian dan penting untuk rakyat nilai," katanya.


Tiada ulasan: