Ahad, 15 Julai 2018

UEC melebarkan jurang pemisah kaum, dakwa Ismail Sabri


UEC melebarkan jurang pemisah kaum, dakwa Ismail Sabri



Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau menentang sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bahawa kerajaan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) seperti yang terkandung di dalam manifesto Pakatan Harapan.

Kata beliau, selain merendahkan taraf sekolah aliran kebangsaan, ia sama sekali tidak mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan dan hanya melebarkan jurang pemisah kaum di negara ini.

“UEC hanya pengiktirafan sendiri (self recognition) oleh Pengetua dan Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan tidak sedikit pun termasuk di dalam perkara Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Ini kerana kertas peperiksaan disediakan oleh pengelola SJKC dan bukan oleh Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan. Hanya ada kertas Bahasa Melayu yang standardnya lebih rendah dari SPM dengan mata pelajaran lain kesemuanya dalam bahasa Mandarin, model dari Taiwan,” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Kata Ismail, beliau yakin orang Melayu pada amnya turut menentang pengiktirafan ini kerana ia akan merendahkan martabat sekolah aliran kebangsaan, yang kemudiannya akan menyukarkan lepasan sekolah ini memasuki pasaran pekerjaan.

Jelas beliau, andai pengiktirafan ini berlaku, ia sekali gus membolehkan pelajar yang mempunyai kelulusan UEC mendapat pekerjaan di jabatan-jabatan kerajaan. Ini pasti akan memberikan saingan kepada para pemegang SPM yang jelas menepati Dasar Pendidikan Kebangsaan. Keistimewaan kepada UEC ini tidak adil kepada pelajar lepasan SPM.

“Malah, lebih amat dibimbangi adalah pengiktirafan UEC ini akan membuka ruang kepada sijil-sijil lain yang membelakangkan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Risikonya nanti, akhirnya tiada siapa lagi yang akan menghormati Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Semua pihak tahu bahawa pengiktirafan UEC ini membelakangkan dasar negara serta meremehkan sekolah aliran kebangsaan.

“Sedangkan kerajaan sepatutnya menumpukan kepada usaha ke arah perpaduan nasional dan bukannya menjerumuskan rakyat berbilang kaum ke dalam segmentasi pendidikan seperti ini,” tambah beliau.

Katanya lagi, sistem yang digunapakai di Taiwan ini sama sekali tidak berada dalam sistem pendidikan negara dan dianggap sebagai tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang antaranya mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Justeru ujarnya, dalam hal ini, UEC dikendalikan dalam bahasa lain dan tidak mengikuti silibus Kementerian Pendidikan. Semua sekolah menengah atau sekolah tinggi persendirian Cina di negara ini telah diberi peluang menyertai sistem pendidikan kebangsaan sewaktu kita mencapai kemerdekaan.

“Namun, ada yang menyertainya dan ada yang tidak menyertainya dengan menjadi sekolah persendirian Cina yang menawarkan UEC.

“Penggunaan sepenuhnya Bahasa Mandarin dalam UEC jelas membelakangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Untuk masa depan demi perpaduan dan bangsa Malaysia, satu bahasa mesti menjadi sasaran kerana bahasa menunjukkan bangsa.

“Rumusannya, UEC adalah ejen pemusnah perpaduan rakyat. Justeru, ia perlu ditentang selagi tidak mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan. Ini bukannya soal politik UMNO tetapi kerajaan berjaya menjadikannya modal politik pada pilihan raya umum lalu,” katanya.

Katanya, beliau juga melihatnya sebagai sebahagian daripada niat jahat beberapa parti politik Cina untuk menekan Kerajaan Pakatan Harapan agar menghakis keistimewaan Melayu/bumiputera secara perlahan-lahan.

Tiada ulasan: