UMAT Islam negara ini
menuntut agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan
tidak tunduk dengan desakan sesetengah pihak supaya pendakwah bebas Dr
Zakir Naik dihantar pulang ke negara asalnya India amat penting bagi
menjamin keselamatan pendakwah tersebut. Keadilan dan karomah insaniah
menjadi intipati prinsip asas dan pendirian negara Malaysia mengenai
Islam dalam menangani tuntutan pelbagai golongan termasuk mereka yang
mahu melemahkan kedudukan agama Islam di negara ini.
Cadangan Timbalan Ketua Menteri Pulau
Pinang II P Ramasamy agar Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India supaya
hubungan Malaysia dengan India tidak terjejas adalah pandangan tidak
berasas. Hubungan diplomatik antara India dengan Malaysia tidak akan
terjejas hanya kerana dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
India tidak akan mengambil tindakan diplomatik hanya kerana seorang
warganegaranya yang bukan seorang pemimpin politik, bukan pula
penjenayah berat, bukan pelampau, serta tidak terlibat dengan aktiviti
keganasan. Beliau hanyalah seorang warga yang mahu memilih tinggal di
negara lain. Kebimbangan kita bahawa Dr Zakir Naik berdepan dengan
intimidasi, perlecehan dan hukuman penjara di negara tersebut jika dia
dihantar pulang dan ini akan menghalangnya daripada menjalankan
kerja-kerja dakwah , bahkan dinafikan hak sebagai manusia yang bebas.
Sememangnya kerajaan tidak perlu melayan
tuntutan golongan yang paranoid terhadap kepetahan dan keseriusan
pendakwah global tersebut kerana Dr Zakir Naik tidak membuat apa-apa
kesalahan. Dakwaan mereka hanyalah berbentuk spekulatif, prejudis dan
skeptikal tanpa dapat mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh. Sewajarnya
debat secara sihat diadakan, terutama di antara Dr Zakir dan juga Dr
Ramasamy, tokoh DAP yang paling aktif memicu isu ini.
Kes tuntutan terhadap Dr Zakir Naik
tidak boleh disamakan dengan kes terhadap Jho Low atau Sirul Azhar yang
dituntut di ekstradisi oleh kerajaan kerana mereka jelas melakukan
jenayah dan kesalahan besar. Sebaliknya, Dr Zakir perlu diberikan
kebebasan memilih tempat pemastautinnya tanpa gangguan mana-mana pihak
apatah lagi sentimen agama yang melatari kebencian ini.
Bagi umat Islam, Dr Zakir Naik adalah
permata yang bergemerlapan, aset ummah yang sangat berharga. Beliau
adalah pembela dan pembahas terkemuka di dunia Islam. Jarang ada manusia
sepertinya yang mempunyai pengetahuan mendalam dalam ilmu perbandingan
agama, mampu berhujah bukan sekadar melalui Al Quran dan Hadis, malah
mampu mengeluarkan hujah melalui kitab-kitab suci agama lain.
Kehadirannya di mana-mana pentas dan bersedia berdebat dengan mana-mana
pihak secara spontan begitu dikagumi sehingga ramai yang memeluk Islam
kerana hujah Zakir yang interaktif dan memancing pesona.
Bagi menutup mulut para pengkritik Islam
dan pembenci Dr Zakir, Perdana Menteri perlu bertindak lebih jauh
dengan menginstitusikan pemikiran dan metodologi dakwah Dr Zakir Naik.
Beliau perlu diberikan ruang melalui insititusi yang ditaja kerajaan
supaya lebih ramai para pendakwah dalam bidang perbandingan agama mampu
dilahirkan di negara ini. Selain itu, lebih banyak forum terbuka, dialog
agama, wacana silang budaya dan agama, ceramah dan perbahasan perlu
dianjurkan melibatkan beliau dengan tokoh-tokoh agama lain diseluruh
negara. Ini penting bagi menjawab kesemua tohmahan dan tuduhan
terhadapnya, selain membuktikan bahawa kerajaan sedia memberi ruang
kepada mereka yang melakukan kebaikan demi agama, bangsa dan negara. – HARAKAHDAILY
*Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan