Ahad, 1 Julai 2018

Pemilihan MT Umno: Yang lama bertahan, yang lawan arus dihukum

MALAYSIAKINI


   
Keputusan akhir bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umno menunjukkan satu hal yang jelas - Umno mahu meneruskan citra sama meskipun dengan kekalahan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan sebarang 'pemberontakan' tidak akan diterima.

Dari pemerhatian sepintas lalu, lebih separuh daripada 25 anggota Majlis Tertinggi Umno yang terpilih merupakan muka baru. Namun barisan anggota baru itu jauh untuk digelar sebagai sebuah anjakan paradigma.

Muka-muka baru yang menang bukan dengan mencabar status quo, namun hanya sekadar mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh penyandang yang tidak bertanding atau bertanding untuk jawatan yang lebih tinggi.

Daripada 25 jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno 14 penyandang bertanding mempertahankan jawatan mereka dan perwakilan yang mengundi semalam memilih untuk mengekalkan mereka.

Hanya tiga daripada 14 penyandang berkenaan tidak terpilih, masing-masing Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Seri Shahidan Kassin dan Datuk Seri Idris Haron.

Masing-masing Puad dan Shahidan sebelum ini dilihat mengambil pendekatan yang melawan arus parti mereka.

Puad sempat mencetuskan keriuhan sebelum pilihan raya 9 Mei kerana tidak dibenarkan bertanding kerusi parlimen Batu Pahat sementara Shahidan membidas pemimpin pusat Umno kerana tidak memberi sokongan kepadanya dalam konflik yang melibatkan pihak istana Perlis berhubung isu pelantikan menteri besar.

Idris yang tidak dilihat sebagai melawan arus bagaimanapun turut kalah dalam saingan bagi jawatan ketua Bahagian Umno Tangga Batu.

Bagi 14 jawatan selebihnya - tiga daripadanya sebelum ini dipegang oleh Puad, Shahidan dan Idris sementara 11 yang lain tidak dipertahankan penyandang - rata-rata diisi oleh muka baru dan beberapa pemimpin Umno yang dilihat pembela bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Antaranya adalah Datuk Lokman Noor Adam, Datuk Seri Ahmad Maslan, dan Datuk Dr Fathulbari Mat Jahya.

Ketua Bahagian Umno Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Ketua Bahagian Umno Selangor, yang sebelum ini dilantik menjawat jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno, juga terpilih mengisi jawatan itu sekali lagi.

Berikut merupakan pecahan keputusan pemilihan Majlis Tertinggi Umno.

Penyandang
Mustapa Mohamed
Shamsul Anuar Nasarah
Reezal Merican Naina Mercian
Razali Ibrahim
Abdul Rahman Dahlan
Azalina Othman Said
Bung Mokhtar Radin
Rosnah Abd Rashid Shirlin
Adul Azeez Abdul Rahim
Ahmad Shabery Cheek
Jamil Khir Baharom

Pernah dilantik sebelum ini
Zambry Abd Kadir
Noh Omar
Ahmad Maslan

Muka baru
Mohd Sharkar Shamsudin
Lokman Noor Adam
Md Alwi Che Ahmad
Fathulbari Mat Jahya
Azian Osman
Khaidhirah Abu Zahar
Ahmad Jazlan Yaakub
Jalajuddin Alias
Hasni Mohamad
Zahidi Zainul Abidin
Mohd Khusairi Abdul Talib

Sejumlah besar kekosongan dalam jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno adalah kerana kebanyakan pemimpin tinggi Umno - yang terdiri daripada presiden, timbalan presiden, dan tiga naib presiden - telah berpecah.

Kekosongan jawatan presiden Umno terjadi setelah peletakan jawatan Najib susulan kekalahan BN dalam PRu sementara jawatan timbalan presiden kosong setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat kerana mempersoalkan Najib berkaitan isu 1MDB.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal keluar parti selepas digantung kerana turut mempersoalkan Najib, manakan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sebelum ini menyandang jawatan naib presiden tidak bertanding dalam pemilihan parti itu.

Ini meninggalkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai penyandang utama dalam lima pemimpin tertinggi Umno bagi bertanding dalam pemilihan parti itu. Beliau akhirnya menang jawatan presiden Umno.

Ia juga bererti banyak penyandang jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno menyasarkan jawatan lebih tinggi.

Berikut merupakan status bagi penyandang anggota Majlis Tertinggi Umno yang dipilih dari penggal sebelum ini.

Kalah
Idris Haron
Shahidan Kassim
Mohd Puad Zarkashi

Bertanding jawatan lebih tinggi
Mohamad Hasan (Menang timbalan presiden)
Ismail Sabri Yaakob (Menang naib presiden)
Mahdzir Khalid (Menang naib presiden)
Tajuddin Abdul Rahman (Kalah dalam merebut jawatan naib presiden)
Annuar Musa (Kalah dalam merebut jawatan timbalan presiden)

Tidak bertanding
Jamaluddin Jarjis (meninggal dunia)
Idris Jusoh
Hasan Malek
Abdul Latiff Ahmad
Ab. Aziz Kaprawi
Sohaimi Shahadan

Tiada ulasan: