Jumaat, 6 Julai 2018

Melakar hala tuju pertanian negara

 
   
ULASAN | Pertanian merupakan salah satu industri yang memerlukan bantuan dan subsidi kerajaan negeri dan pusat. Secara prinsip dan praktik, kawasan luar bandar - di mana pertanian sering dijalankan - tidak boleh diabaikan sama sekali.

Tetapi sejauh mana subsidi perlu diberikan dan mengapa perlu ada kerjasama akrab bagi sektor pertanian?

Ini hakikat yang tidak dapat disangkal dengan asal-usul yang unik. Ia memerlukan pemahaman yang lebih mendalam, terutama dalam soal bagaimana bermulanya sesebuah kerajaan.

Menurut ahli akademik Mancur Olson dari University Maryland, kerajaan tirani atau demokratik disifatkan sebagai "stationary bandit" (perompak yang kekal di satu tempat).

Mereka berusaha ke arah kejayaan ekonomi agar boleh kekal berkuasa dan mendapat manfaat daripada kejayaan itu.

Maka perompak ini - yang bermastautin di satu lokasi strategik, biasanya muara sungai atau pantai di mana kegiatan perniagaan pesat berjalan - yang barangkali sudah muak dengan kegiatan merompak dan menindas mula menjalankan tugas kerajaan.

Mereka mengumpul cukai daripada petani, penternak dan nelayak di lokasi tersebut. Sebagai penghargaan, agar tali perhubungan antara pemerintah dan yang diperintah terus erat, mereka memberikan perlindungan dan bantuan.

Maka bermulalah sebuah kerajaan di lokasi itu.

Mampu tahan 2 hari saja

Dalam teori pengurusan pemerintahan, Islam memang peka dengan konsep ini.

Kerajaan bakal menjadi angkuh dan bertindak tanpa timbang rasa dan justeru Islam mengharamkan sebarang kutipan yang sehingga menindas dan menyusahkan orang ramai.

Zakat ditetapkan pada kadar 2.5 peratus. Ia menjadikan kerajaan kekal utuh dan pada masa sama tidak menzalimi rakyat dengan cukai yang tinggi dan berlebihan.

Dalam aspek ini Islam mempunyai visi kerajaan bertempat yang amat progresif.

Di Timur mahupun Barat, sejak bermulanya tamadun manusia, pertalian antara petani, penternak dan nelayan dengan kerajaan tidak pernah terputus.

Walaupun giat melakukan perindustrian, bidang pertanian dan penternakan terus mendapat sumbangan dan bantuan kerajaan.

Hubungan ini adalah hakikat yang harus direnung secara mendalam. Menurut pakar ekonomi Jerman kurun ke-19 Friedrich List, industri baru atau yang telah menjadi lemah wajib mendapat bantuan kerajaan.

Jika industri itu runtuh atau terperangkap dalam kitaran hutang, ia memberi kesan buruk kepada negara secara keseluruhan. Jika sesebuah negara tiada pandangan jauh atau strategik, ia lambat-laun akan ditimpa masalah.

Malaysia boleh diambil sebagai contoh. Dalam wawancara bersama RTM 1 pada 6 Jun lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata bekalan makanan negara boleh dianggap kritikal.

Menurutnya, jika China dan Thailand boleh kekal dengan produk makanan tempatan selama enam hingga lapan bulan jika dilanda krisis makanan sedunia, Malaysia cuma boleh bertahan dua hari saja.

Salah satu sebabnya kepesatan perindustrian dan pembangunan bandar di negara ini telah menghakis bidang pertanian dan perikanan.

Secara purata, sektor pertanian dan asas tani hanya menyumbang 8.3 peratus kepada ekonomi negara.
Pandang ke China juga

Ini membawa kita kepada China. Kerajaan dan rakyat negara itu memang memerlukan import bahan makanan dari Malaysia.

Justeru kementerian pertahanan dan industri asas tani memerlukan dasar pandang ke China, bukan saja pandang ke Jepun dan Korea Selatan.

China yang mempunyai industri pertanian yang canggih tidak harus dilupakan. Malaysia perlu merapatkan lagi hubungan dua hala dengan negara itu.

Pemasaran produk Malaysia amat penting kepada China, bukan saja melibatkan sektor buah-buahan seperti durian. Tetapi juga bahan dari hutan yang mungkin mampu menjadi unsur penting dalam perubatan tradisional di sana.

Industri makanan halal juga boleh dibina di China dengan bantuan kerajaan negara itu, agar produk halal berkualiti tinggi Malaysia boleh dipasarkan ke seluruh dunia.

Industri halal Malaysia boleh dipelopori di China ekoran pasaran yang begitu besar dan pesat berkembang.

Tetapi unsur monopoli di Malaysia harus dibanteras, misalnya eksport yang dulu dikawal Umno dan BN.

Industri pertanian merupakan tiang Malaysia yang harus sentiasa ditegakkan kerana ia amat penting dan mampu membawa manfaat besar kepada negara.


PHAR KIM BENG ialah sarjana tamu di Waseda University, Tokyo yang sedang menulis buku mengenai komuniti Asia Timur. Beliau juga bekas penyelidik kanan di City University of Hong Kong.

Tiada ulasan: