Selasa, 3 Julai 2018

Kalaulah ane ada duit...

 
   
"Kalau ane ada duit, ane nak buat tahfiz sekali dengan akademik. Dah tak boleh buat tahfiz semata," kata Ustad Mohamza kepada kami.

Ustaz Mohamza lulusan Universiti al-Azhar dengan mumtaz dan sekarang memilih untuk berniaga sambil mengajar ilmu al-Quran - secara percuma - kepada sesiapa saja yang mahu.

Dulu, sekitar 1990-an, sahabat kami Ajak (alahhh... budak sekolah agama yang menyembelih kambing sesat masuk asrama dan memasaknya di dalam tandas macam yang kami ceritakan dulu) telah melihat betapa kemiskinan adalah antara punca kemerosotan pembelajaran ramai murid.

Untuk pengetahuan semua, Ajak juga pernah diharamkan daripada bersekolah di seluruh Pahang.
(Kenapa - kamu pun bertanya jadi busybody macam biasa. Nanti apabila beliau komen tulisan ini, kamu tanya dia sendiri.)

Beliau pun mencari jalan bagaimana mahu membantu pelajar-pelajar itu keluar daripada kemiskinan. Dan tentunya jalan yang paling baik ialah melalui pelajaran.

Lalu beliau pun memulakan apa yang - pada waktu itu - dipanggil Projek Menara Gading.

Modus operandinya mudah. Cari murid daripada keluarga miskin dan sederhana yang belum ada adik-beradiknya pernah menjejak kaki ke universiti. Pelajar yang dipilih tidak semestinya mencapai keputusan baik di sekolah.

Diberi tempoh dua tahun

Apabila kami kata "mencari" kami memang memaksudkannya mencari sungguh-sungguh. Ajak akan masuk ke seluruh pelusuk kampung dan sekolah untuk mencari pelajar.

Kalau kamu jadi Ajak, kamu akan dapat dengar seribu cerita derita (pelajar) jika kamu sedia memberikan masa kepada mereka.

Mereka itu kemudian wajib mengabiskan cuti sekolah dan juga hujung minggu mereka di kelas-kelas tambahan yang akan dikendalikan oleh guru-guru berprestasi tinggi.

Tenaga pengajar yang dipilih juga haruslah bersedia untuk bekerja pada hujung minggu dan cuti persekolahan selama tempoh dua tahun.




Walaupun mereka menerima bayaran yang agak tinggi, pengorbanan masa dan komitmen terhadap kerja yang guru-guru itu berikan hendaklah dihormati.

Pelajar-pelajar tetap bersekolah di sekolah masing-masing. Mereka hanya berkumpul pada setiap hujung minggu dan cuti penggal persekolahan.

Pelajar akan mula diambil setelah tamat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan akan dibimbing hingga ke peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini bermakna kemasukan ke program berkenaan hanya dibuat sekali setiap dua tahun.

Pada awal penubuhan Projek Menara Gading kami melihat betapa sukarnya Ajak mendapatkan pelajar yang mahu mengikuti projek berkenaan. Ia ditambah pula dengan kesukaran Ajak sendiri untuk mencari dana bagi membiayai kerja itu.

Ia bukan suatu perniagaan tetapi kerja sosial yang digerakkan atas kesedaraan mahu membentuk dan melahirkan generasi berpendidikan tinggi.

Dapat budi, balas budi

Tiada keuntungan wang ringgit yang didapati daripada projek itu kecuali kegembiraan melihat kecermerlangan pelajar-pelajar yang dibimbing.

Setelah beberapa tahun, Pemangku Sultan Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersetuju untuk menaungi projek terbabit melalui Yayasan Abdul Aziz. Kini projek tersebut dikenali sebagai Akademi Menara Gading.

Sudah hampir 20 tahun akademi itu wujud dan melahirkan ratusan pelajar yang hampir semuanya adalah cemerlang.

Hari ini Akademi Menara Gading bergantung kepada sekolah-sekolah untuk ‘membekalkan’ pelajar. Dan pihak akademi mendapat kerjasama yang amat baik daripada semua sekolah.




Akademi Menara Gading telah melahirkan peguam, jurutera pensyarah dan juga guru-guru yang sudah tentu mempunyai keazaman untuk membalas jasa yang diterima dengan melahirkan generasi yang baik selepas melalui pengalaman di institusi berkenaan.

Bekas pelajar Akademi Menara Gading ini juga banyak menyumbang kembali kepada akademi apabila mereka mula bekerja. Bukan dari segi wang ringgit tetapi dengan meluangkan masa bersama pelajar atau melakukan kerja amal yang lain.

Ustaz Mohamza mempunyai cita-cita yang sama, iaitu supaya anak-anak yang belajar agama juga diberikan pelajaran akademik supaya nanti akan terlahir jurutera, peguam, saintis - dan sebagainya - yang faham agama.

Kepada mereka yang takut dan skeptikal serta berwasangka, orang yang faham agama biasanya ialah orang baik. Yang keliru, yang huru-hara dan yang gemar bersengketa itu biasanya ialah orang yang ‘belum’ kenal agamanya.

Mereka itu berjuang atas dasar semangat saja. Jadi, jangan pedulikan mereka. Nanti setelah semangatnya kendur, mereka akan balik rumah dan tidur.

Masjid-masjid boleh

Bukan tidak ada pihak yang berbuat seperti apa yang dilakukan Akademi Menara Gading. Yayasan Pahang misalnya mempunyai madrasah untuk pelajar tahfiz yang juga diberikan pelajaran akademik, selain beberapa institusi lain yang melakukan perkara sama.

Malah kami kenal seorang kawan yang mengendalikan lima pusat tahfiz dengan salah satu daripadanya dikhususkan kepada sesiapa saja pelajar agama yang mahu mengambil peperiksaan SPM.

Pelajar yang berminat akan dibimbing selama satu tahun dengan bayaran sekitar RM10,000. Nampak mahal tetapi jika dikira sebagai yuran bulan persekolahan serta biaya asrama, jumlah itu dianggap berpatutan. Tambahan pula selalunya pelajar mereka mencapai keputusan yang amat cemerlang pada setiap sesi perperiksaan.

Sambutan yang diterima amat menggalakan, cuma mereka tidak boleh menerima lebih daripada 15O pelajar pada satu-satu sesi persekolahan kerana kekangan pengajar dan juga bilik darjah.



Apa yang diharapkan, lebih ramai orang yang berkemampuan menaja apa jua program melahirkan generasi yang lebih baik, yang tidak berdasarkan keuntungan, seperti dilakukan Yayasan Abdul Aziz di Pahang sana.

Kami sendiri berasakan masjid-masjid di Malaya ini mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.

Setelah semua usaha untuk memperindahkan masjid selesai dilakukan, ahli jawatankuasa mana-mana masjid - yang mempunyai sumber kewangan yang tinggi - hendaknya memikirkan hal ini. Atau setidak-tidaknya pihak masjid boleh memberikan biasiswa kepada pelajar.

Kita ada beribu-ribu masjid dan ada antaranya mempunyai simpanan bernilai berjuta ringgit hasil sumbangan orang ramai. Elok sekiranya sebahagian daripada wang itu digunakan untuk pembelajaran anak-anak supaya tidak ada lagi pelajar - sama ada belajar agama atau akademik - terpaksa merayu serta merayau mencari bantuan.

Tentu saja menjadi satu keaiban jika ada masjid melancarkan kutipan derma kilat semasa dilawati pelajar yang memerlukan bantuan tetapi pada ketika sama, dalam akaun mereka di bank sebenarnya menyimpan dana yang sangat besar.

Jika kita dibenarkan berharap, maka kita tentu juga ingin supaya masjid-masjid ini turut menjadi tempat mengadu para peniaga yang memerlukan modal, contohnya.

Satu masjid, juta-juta duit

Jika kamu mahu tahu, hampir 90 peratus peniaga pasar malam yang kami kenali, terikat dengan hutang ceti haram.

Bantu mereka keluar dari belenggu tersebut.

Sebagai selingan, kami ada diberitahu tentang sebuah masjid yang amat berjaya kewangannya di sekitar Petaling Jaya, dengan pengerusinya ialah bekas CEO sebuah syarikat besar.

Daripada kerja keras beliau dan semua penduduk setempat, masjid berkenaan kini mempunyai simpanan berbelas-belas juta ringgit.

Alangkah eloknya jika wang sebanyak itu digunakan untuk membantu pelajar yang memerlukan?




Akademi Menara Gading kini ditempatkan di sebuah kelas yang sederhana besarnya. Hal itu memaksa mereka perlu menolak lebih ramai pelajar yang mahu menyertainya.

Apabila kami tanya mengapa sistem sebegini tidak diperluaskan ke seluruh negara, Ajak membalas:

"Koi tak daya... lagi pun sapa nok buat kerja gini? Bukannya untung."

Kita sebenarnya tidak boleh sentiasa mengharapkan kerajaan untuk melakukan semuanya untuk kita. Sementelah pula kerajaan baru ini amat sibuk membatalkan... eh! Diteruskan. Eh! Dibatalkan. Eh!

Diteruskan... projek-projek mega kerajaan lalu serta mempromosi diri sendiri agar menang lagi pada pilihan raya akan datang.

Eh! Pilih kawan jadi menteri! Eh! Bagi projek pada kroni!!! (Maaflah, terlatah.)

Kami ulangi: partai yang sampai hati memilih Papagomo sebagai exco pemuda itu tidak mungkin akan menang walau dalam lima atau enam pilihan raya akan datang. Jadi jangan kalut mahu mempromosi diri. Buat kerja dan menangi hati rakyat dengan berbuat benar dalam semua hal. Tahulah siapa yang mahu kami pilih nanti.

Doakan mereka berjaya

Orang seperti Ajak dan Ustaz Mohamza ini seharusnya dibantu merealisasikan impian mereka. Atau jika kamu memang jenis tidak selesa membantu pelajar akademik dan agama, maka bantulah mana-mana badan yang berkerja atas dasar cinta mereka kepada bidang masing-masing.

Mereka itu harus dibantu hingga berjaya dan bukan diikat supaya terus-terusan meminta-minta.

Ini yang diajar agama kita. Bantu mereka yang susah sehingga mereka boleh membayar zakat, bukannya beri sedikit-sedikit lalu kekallah mereka sebagai penerima hingga akhir nanti.

Kelab Pengiat Seni Rajawali yang sudah hampir 10 tahun berusaha untuk menyiapkan petempatan seniman itu misalnya, amat memerlukan bantuan.




Sekarang ialah masa yang sesuai untuk membantu kelab seni unggul di sebelah pantai timur itu, kerana kami dengar ada gosip mengatakan pengasasnya sudah putus asa serta tidak bertanggungjawab, dan hilang entah ke mana sedangkan penyu menangis siapalah yang tahu. Hah!

Bagaimanapun, kelab tersebut masih aktif di bawah pengurusan baru yang sangat komited serta berjiwa besar. Mereka berkumpul untuk menaikkan seni negara kerana cinta - walaupun menteri yang mewakili mereka entah tahu atau tidak beza antara meridian red dan yellow ocre.

Kami mendoakan mereka lebih berjaya dan bergaya serta tabah mejalani derita hidup tanpa pengasasnya yang lupa dunia.

Kami berharap mereka rajin menyapu daun-daun kering yang gugur pada setiap hari di kawasan itu agar ianya dapat menarik lebih ramai pengunjung.

"Cinta bersih dan resah jiwa pun pulih," kata Mok kami.

Beberapa perenggan terakhir di atas itu digelar sebagai seni aras tinggi dalam penulisan yang baik dan dikenali dalam kalangan penulis sebagai "perenggan tetiber..."



ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang sederhana, juga jurugambar amatur serta kaki rambu yang (orang kata) tak tahu nak balik rumah.

Tiada ulasan: