Jumaat, 20 Julai 2018

Bahasa Arab bahasa ilmu, kata CEO Universiti Al-Madinah

 
Ismawi Zen berkata Zam perlu mengakui pengalamannya yang terhad tidak membolehkan beliau mengeluarkan kenyataan umum sedemikian.


Ismawi Zen berkata pendapat yang mengatakan bahasa Arab bukan bahasa ilmu adalah tidak tepat kerana setiap bahasa bermula sebagai bahasa ilmu.

KUALA LUMPUR: Ketua pegawai eksekutif Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) menolak pandangan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mengatakan bahasa Arab bukan bahasa ilmu.

Prof Dr Ismawi Zen berkata bahasa Arab mempunyai khazanah ilmu lebih besar daripada bahasa lain di dunia.

“Bahasa Jerman mempelajari matematik melalui bahasa Arab. Banyak konsep matematik dalam Jerman yang dibawa ke Eropah adalah daripada bahasa Arab.

“Saya tidak kata bahasa Arab adalah bahasa utama dunia, tetapi ia merupakan antara bahasa terawal yang membawa ilmu kepada dunia Barat,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Mediu Desa Petaling baru-baru ini.

Sebelum ini Zainuddin atau dikenali sebagai Zam menulis di blognya mempertahankan kenyataan beliau bahawa bahasa Arab bukanlah bahasa ilmu dengan alasan tiada dalam kalangan ahli profesional terkemuka dunia yang dihasilkan menerusi pendidikan yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantara.

Menurutnya, bahasa Arab tidak digunakan dalam ilmu sains, teknologi dan ekonomi yang mempunyai nilai untuk menyumbang kepada kemajuan serta pemodenan dan masalah itu berpunca daripada sikap para ulama Arab sendiri yang menyekat kemajuan berfikir dan intelektual bangsa tersebut.

Ismawi Zen berkata pendapat yang mengatakan bahasa Arab bukan bahasa ilmu adalah tidak tepat kerana setiap bahasa bermula sebagai bahasa ilmu.

Katanya jika di Barat bukan semua orang menggunakan bahasa Inggeris, tetapi juga bahasa Perancis dan Jerman.

“Di universiti negara Arab sudah tentu mereka menggunakan bahasa mereka dalam bidang sains perubatan atau teknologi. Kita juga ada hantar pelajar kita ke negara Arab untuk belajar bidang perubatan dan kejuruteraan.

“Satu kenyataaan yang tidak mempunyai asas dan mungkin juga dibuat secara rambang sahaja.

“Dia bercakap dari segi pengalamannya yang terhad, tetapi tentulah tidak boleh buat kenyataan secara umum begitu,” katanya.

Ismawi juga tidak bersetuju kenyataan Zam yang mengatakan pusat pendidikan di rantau Arab tidak menjadi tumpuan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional.

Beliau berkata belajar di negara mana pun tidak menjadi masalah sebab bahasa hanyalah perantara.

“Terdapat universiti di Arab tidak menjadi pilihan ramai pelajar mungkin faktor keamanan seperi di negara Yemen.

“Belajar di mana-mana tidak jadi masalah. Saya sendiri belajar bahasa Melayu di Malaysia pergi United Kingdom belajar dalam bahasa Inggeris dan jadi pelajar terbaik di universiti berkenaan.

“Belajar di mana-mana sama sahaja sebab kita juga digalakan mengembara untuk mempelbagaikan sumber ilmu,” katanya.

Tiada ulasan: