MOHD ALI HASHIM
Pakatan Harapan (PH) telah bergerak lebih awal sebelum pembubaran Dun Pulau Pinang lagi.
Aktiviti dan kempen yang dijalankan dipergiatkan setelah sambutan
masyarakat terhadap PH semakin baik dan sokongan semakin bercambah.
Ekoran dokongan yang semakin menggalakkan, program membantu
masyarakat khususnya pengundi dalam kawasan Dun Permatang Pasir
ditingkatkan sehingga ke hari ini.
Demikian dinyatakan oleh calon Dun Permatang Pasir, Faiz Fadzil
ketika ditemui selepas menyantuni pelbagai golongan masyarakat dan
pengundi kelmarin.
Jelas beliau lagi, isu yang menjadi daya sokongan semakin meningkat
berkait rapat dengan kos sara hidup yang melampau, cukai GST yang
dikenakan serta kos barangan yang semakin membebankan.
“Bersama-sama dengan gerak kerja PH saya begitu optimis pengundi Dun
Permatang Pasir dan Parlimen Permatang Pauh berani untuk membuat
perubahan dalam pilihan raya umum (PRU) 9 Mei nanti.
“Pengundi juga yakin hanya dengan perubahan dalam PRU kali ini sahaja
mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang membelenggu mereka
selama ini.
“Undi akan diberikan kepada parti yang mahu membentuk kerajaan dengan
polisi yang dapat mengatasi masalah ekonomi rakyat,” ujarnya.
Faiz yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH turut berkata,
rata-rata pengundi Dun Permatang Pasir cukup arif dengan senario politik
semasa.
“Mereka berani untuk menolak mana-mana parti yang bersekongkol dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Penggunaan logo KEADILAN begitu sebati dengan pengundi dalam kawasan Dun Permatang Pasir maupun Parlimen Permatang Pauh.
“Pengundi dalam kawasan Dun Permatang Pasir selama ini teguh berdiri
di belakang perjuangan PKR yang diterajui oleh Ahli Parlimen Permatang
Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah,” tegasnya lagi.
Malah kata Faiz lagi, hubungan akrab beliau dengan PKR serta
masyarakat setempat adalah kunci penerimaan baik pengundi dalam kawasan
yang akan ditandinginya.
Tambahnya, jentera PH akan terus bekerja keras bagi memastikan
kemenangan rakyat di Dun Permatang Pasir dan Parlimen Permatang Pauh
pada 9 Mei nanti.
“Pengundi telah merasai kebajikan dan pembelaan melalui dasar yang
diperkenalkan oleh kerajaan negeri melalui program peduli rakyat seperti
I-Sejahtera dan juga pelbagai bentuk sumbangan sejak 2008 lagi.
“Program sumbangan berbentuk ‘one-off’ yang diberikan saban tahun
untuk warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas maupun sumbangan yang
sama bagi pelajar tahun satu dan tahun empat serta tingkatan satu dan
tingkatan empat setiap tahun.
“Sumbangan kepada pelajar yang memasuki Institusi Pengajian Tinggi,
anak yang baru dilahirkan dengan sumbangan sebanyak RM200 serta
sumbangan kepada penarik beca, pemandu teksi, nelayan, operator bas
sekolah dan sebagainya amat membantu rakyat di Pulau Pinang,” katanya
lagi.
Selain itu katanya, kerajaan negeri juga membantu dengan
menyumbangkan peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz,
Pondok, Kelas KAFA, Tadika Islam dan pelbagai lagi institusi hingga Dun
dibubarkan baru-baru ini.
Oleh kerana itu kata Faiz lagi, bukan saja pengundi dalam kawasan Dun
Permatang Pasir dan Parlimen Permatang Pauh akan meneruskan sokongan
melalui undi yang akan diberikan, sebaliknya ia akan mengulangi kejayaan
PRU ke-12 dan ke-13 yang lalu, apabila BN tetap kekal sebagai
pembangkang di Pulau Pinang bagi penggal ketiga 9 Mei nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan