Isnin, 16 April 2018

Shahrizat sahkan tak tanding Parlimen Bandar Tun Razak

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sekali menegaskan beliau tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) .
 
Dalam status yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Shahrizat berkata beliau tidak akan menerima tawaran untuk bertanding di Bandar Tun Razak walaupun yakin kawasan itu boleh dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN) daripada PKR.
 
"Ramai yang tanya saya adakah saya akan terima tawaran untuk bertanding di Parlimen Tun Razak? Jawapan saya tidak, walaupun Bandar Tun Razak adalah satu kawasan di mana Barisan Nasional boleh menang dan tewaskan PKR," katanya.
 
 
 
Sebelum ini desas-desus mengatakan Shahrizat akan menjadi calon di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang secara tradisinya ditandingi wakil daripada MCA.
 
Umno mahu meletakkan calonnya atas alasan mendapat sokongan baik masyarakat Melayu setempat.
 
Pada PRU13, wakil MCA kalah kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dengan majoriti 11,832 undi.
 
Abdul Khalid, 72, menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas keluar dari PKR dan difahamkan tidak akan mempertahankan kedudukannya pada PRU14.
 
Shahrizat adalah ahli Umno Kepong yang menceburi arena politik pada 1982 sebagai Ketua Wanita Umno Cawangan Kepong Baru. 
 
Beliau dipinjamkan ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika PRU 1995.
 
Sejak itu, Shahrizat yang menjadi calon payung terjun, memenangi tiga penggal pilihan raya di Parlimen Lembah Pantai sekali gus, menyandang jawatan Ketua Wanita Umno.
 
Bagaimanapun, Shahrizat kalah dengan majoriti 2,895 undi kepada Nurul Izzah Anwar (PKR) pada PRU 2008. Pada PRU13, Shahrizat tidak bertanding di mana-mana kawasan.
 
 

Tiada ulasan: