Selasa, 10 April 2018

PRU-14: Pengerusi BN negeri, pemimpin komponen, sayap bertemu PM

Bernama
PUTRAJAYA -- Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim tiba di Kompleks Seri Perdana bagi mengadakan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.?--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
 

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengadakan pertemuan dengan pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri-negeri, pemimpin parti komponen dan pemimpin sayap berkaitan pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) di Seri Perdana di sini.

Najib, yang juga Pengerusi BN, bertemu dengan pemimpin-pemimpin tersebut secara bergilir-gilir antaranya untuk memuktamadkan senarai calon dan persiapan menghadapi PRU-14.

“Ya. Saya jumpa PM (Perdana Menteri) pasal pilihan raya,” kata Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang ditemui media ketika memasuki kediaman rasmi Perdana Menteri itu pada kira-kira 2.20 petang.

Antara yang awal dilihat di perkarangan Seri Perdana ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan pengerusi BN negeri masing-masing.

Kenderaan yang membawa Mohamed Khaled dan Idris masing-masing dilihat meninggalkan perkarangan Seri Perdana pada 11.37 pagi dan 11.38 pagi.

Cubaan sekumpulan media untuk mendapatkan ulasan daripada dua pemimpin berkenaan mengenai pertemuan itu bagaimanapun tidak berjaya.

Idris sempat menurunkan tingkap keretanya dan memberi salam serta melambai kepada kumpulan media yang telah menunggu di kawasan Seri Perdana sejak pagi.

Mengulas pertemuannya bersama Najib kepada kumpulan media yang mengerumuni kenderaannya ketika meninggalkan perkarangan Seri Perdana pada kira-kira 12.30 tengah hari, Mohamad berkata perbincangan tersebut untuk mengatur strategi PRU14 di Negeri Sembilan berjalan baik.


“Selesai dah rasanya,” kata Mohamad mengenai perbincangan berkenaan.

Ditanya mengenai hasil perbincangan bagi memuktamadkan calon BN di Negeri Sembilan, Mohamad berkata: “Ok. Alhamdulillah.Kita berunding, ada setuju ada tak setuju.”

Mengenai persediaan dan keyakinan mempertahankan BN di Negeri Sembilan, beliau berkata : “Insya-Allah. Kita kena kerja kuatlah.”

Mohamad berkata beliau juga akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Rantau pada PRU-14 nanti.

Turut kelihatan di perkarangan Seri Perdana ialah kenderaan yang membawa Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin serta Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.


Di sebelah petang pula, antara pengerusi BN negeri yang kelihatan di perkarangan Seri Perdana ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Turut kelihatan ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar yang juga Pengerusi BN Selangor dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi Kelantan.

Pemimpin parti komponen seperti Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong juga kelihatan di Seri Perdana.

“Semua ok,” kata Subramian yang juga Menteri Kesihatan ketika ditanya media mengenai pertemuannya dengan Najib.

Ditanya mengenai kedudukan kerusi Parlimen Cameron Highlands yang turut diintai Parti Progresif Penduduk (MyPPP),  Subramaniam berkata : “Nantilah…nantilah.”

Pada PRU13, MIC bertanding kerusi Cameron Highlands diwakili bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel sebelum beliau hilang keanggotaan MIC pada 2015 semasa krisis dalaman parti itu.- BERNAMA


Tiada ulasan: