Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
SHAH ALAM: PPBM sudahpun menyerahkan segala dokumen yang dituntut
kepada Pendaftara Pertubuhan (RoS) pada Khamis lalu, kata Ketua
Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Mohd Noor.
Bagaimanapun Kamaruddin berkata tidak semua dokumen yang diminta RoS
diberikan sebaliknya PPBM hanya menyerahkan 'apa yang ada sahaja' kepada
badan itu.
"Kita sudah serahkan dokumen kepada RoS pada hari Khamis, 29 Mac 2018.
Kita juga dah hantar dokumen ke tangan pegawai RoS sendiri.
"Apa yang ada dalam rekod semua kita dah hantar. Kini kita hanya
menunggu maklumbalas daripada pihak RoS sahaja," katanya ketika
dihubungi Antarapos.
Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengakui parti itu
tidak dapat memenuhi dua daripada sembilan perkara dituntut jabatan
berkenaan.
Muhyiddin berkata, dua tuntutan yang mungkin tidak boleh dipenuhi PPBM
itu, adalah berkaitan perjalanan mesyuarat bahagian dan cawangan parti
itu.
Ketika diminta mengulas lanjut, Kamaruddin berkata RoS tidak boleh sewenang-wenangnya mengisytiharkan PPBM dibubarkan.
"Tidak semudah itu sebenarnya, kalau mengikut peruntukan dalam akta
pertubuhan, hanya menteri sahaja ada kuasa untuk membubarkan parti,
bukannya RoS. Jadi panjang lagi cerita sebab mereka perlu menunjuk
pelbagai jenis sebab baru boleh bubar.
"Proses ini boleh ambil masa secepat mungkin, namun kalau RoS mahu
meneliti dokumen yang PPBM hantar mahu mengambil masa berbulan-bulan
lamanya.
"Melainkan RoS ada agenda lain dan menjadikan tuntutan kepada PPBM
sebagai alasan saja. Tapi kalau kita hantar dokumen hari ini, esok RoS
keluar perintah pembubaran parti. Itu saya fikir bukan caranya pegawai
kerajaan buat kerja," ujarnya.
Kamaruddin berharap agar isu pendaftaran PPBM tidak dipolitikkan dan mahu RoS melaksanakan kerjanya secara adil dan saksama.
RoS kini sedang menyiasat PPBM selepas mendapat lebih 400 aduan
daripada ahli akar umbi bahawa mesyuarat agung tahunan (AGM) PPBM yang
diadakan 30 Disember tahun lalu, tidak sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan