Rabu, 25 April 2018

Pencabar Najib di Pekan diminta berundur

 
Dr Mahathir sendiri meminta Kamarul Arifin berundur untuk memberi laluan kepada satu 'kejutan'.



Kamarul Arifin tidak bersedih atau berkecil hati kerana permintaan Dr Mahathir perkara biasa dalam politik.


PETALING JAYA: Pencabar Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Pekan, Kamarul Arifin Mohd Shahar diminta PPBM supaya berundur untuk memberi laluan kepada satu “kejutan”.

Kamarul berkata permintaan itu disampaikan sendiri oleh Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan hari ini.

“Dr Mahathir menerangkan dan menjelaskan secara terperinci berkenaan strategi kami di Parlimen Pekan. Berdasarkan apa yang diterangkan oleh Dr Mahathir, ternyata kali ini Parlimen Pekan bakal menerima sebuah kejutan yang akan mengubah lanskap politik.”

“Secara terhormat, Dr Mahathir meminta saya melakukan sebuah pengorbanan yang mungkin paling ditakuti oleh ramai ahli politik – untuk menarik diri daripada bertanding dan memberi laluan kepada orang lain,” katanya.

Ketua PPBM Indera Mahkota ini berkata tempatnya akan digantikan oleh Zahid Mat Arip, ahli majlis tertinggi parti.

Kamarul berkata beliau tidak bersedih atau berkecil hati kerana permintaan Dr Mahathir perkara biasa dalam politik.

“Sekalipun saya tidak menjadi calon dalam PRU kali ini, saya berjanji dan bersumpah setia, saya tidak akan sesekali meninggalkan perjuangan ini dan akan terus menzahirkan kesetiaan saya bersama perjuangan Tun,” katanya, yang turut mendoakan kejayaan Zahid.

PPBM mengumumkan ia akan meletakkan calon di 6 Parlimen dan 9 DUN pada pilihan raya akan datang.


Tiada ulasan: