SHAH ALAM: PAS Selangor mengumumkan akan bertanding di 47 daripada 56
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini pada Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU14).
PAS turut mengumumkan akan bertanding di 20 Parlimen di Selangor.
Antara calon yang ditampilkan PAS Selangor ialah tiga penceramah
terkenal yang sering dijemput dalam program agama di televisyen iaitu
Ahmad Dasuki Abd Rani, Mohd Zamri Mohd Zainuldin dan Nushi Mahfodz.
Pelantikan Zamri, yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor itu
diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, Sallehen Mukhyi
dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Perkim Village di Seksyen 8, di
sini, malam ini.
Beliau yang sebelum ini hos rancangan 'Mari Mengaji' terbitan TV9 akan bertanding di DUN Sungai Burong.
Selain Zamri, PAS Selangor turut meletakkan seorang bekas hos rancangan
Jentik Hati, Suntik Minda terbitan Astro Oasis, Nushi Mahfodz, 43, yang
juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Serdang di Parlimen Bangi.
Malah, turut dipilih mewakili parti itu ialah penceramah bebas dan
Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani, 42, yang
akan bertanding di kerusi DUN Kota Anggerik.
Turut diumumkan adalah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi
Marzuki yang akan bertanding di Parlimen Shah Alam bagi menentang
penyandang dari Parti Amanah Negara (PAN) Khalid Samad.
Pada masa sama, pengumuman calon PRU14 PAS Selangor menyaksikan hampir
keseluruhan penyandang kerusi DUN yang dimenangi pada PRU-13 kekal di
kerusi masing-masing antaranya Mohd Shafie Ngah yang bertanding kerusi
DUN Sungai Ramal (sebelum ini DUN Bangi), Noor Hanim Ismail (DUN Seri
Serdang), Dr Halimah Ali (DUN Selat Klang), Mohd Haslin Hassan (DUN
Tanjung Sepat),
Hasbullah Mohd Ridzwan (DUN Gombak Setia), Zaidy Abdul Talib (DUN Taman
Templer), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (DUN Sijangkang), Razaly Hassan
(DUN Dusun Tua) manakala kerusi DUN Sabak turut kekal ditandingi oleh
Sallehen.
Bagaimanapun, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga bekas ADUN Meru,
Dr Abd Rani Osman diumumkan bertanding di Parlimen Kapar.
Pada PRU14 ini, PAS Selangor turut mengumumkan Pengarah Dewan Himpunan
Penyokong PAS (DHPP) M Rajan akan bertanding di DUN Sentosa, manakala
Naib Pengerusi DHPP Selangor, Kong Tuck Wah bertanding di DUN Rawang.
Semua calon PAS Selangor turut melafazkan baiah dan sumpah bagi
mengelak berulangnya isu pengkhianatan dalam kalangan wakil rakyat parti
itu selepas PRU14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan