Ahad, 1 April 2018

Kubu kuat ‘Anwar’ Hutan Melintang terbiar?

Nizam Zain
Ramesh Rao (kiri)


KUALA LUMPUR – Kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hutan Melintang didakwa dipinggirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), S. Kesavan sejak dua penggal lalu khususnya dalam kawasan komunti India.

Pengabaian kebajikan masyarakat India melibatkan bantuan kewangan untuk pembangunan rumah ibadat didakwa berlarutan sejak 10 tahun lalu selepas PKR memenangi kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 dan PRU13 pada 2013.

Kegagalan wakil rakyat PKR menjalankan tanggungjawabnya hanya disedari apabila jentera sahabat Barisan Nasional (BN) iaitu NGO Pertubuhan Minda dan Sosial Pihatin (PMSP) menggempur kawasan berkenaan baru-baru ini selepas dijemput oleh pihak pengurusan kuil Jendarata.

Meskipun tiga kawasan di kerusi N54 itu dikatakan kubu kuat PKR, namun berdasarkan kunjungan turun padang oleh Presiden PMSP, Ramesh Rao mendapati masyarakat India semakin hilang kepercayaan kepada wakil rakyat dan parti di Hutan Melintang itu, sekaligus ia menampakkan parti yang diasaskan Anwar Ibrahim itu semakin goyah menjelang PRU14 akan datang.
Presiden PMSP, Ramesh Rao (kanan) sedang mendengar rintihan 
komuniti India ladang estet di Jendarata, Hutan Melintang, baru-baru ini.
Menurut Ramesh, kawasan berkenaan sudah terbiar tanpa perhatian Kesavan sejak dua penggal memerintah kawasan itu hingga mengabaikan kebajikan bukan sahaja masyarakat India bahkan kaum lain juga turut tidak mendapat perhatian.

“Rata-rata masyarakat India di kawasan ini meluahkan rasa kecewa dengan janji-janji palsu serta harapan kosong oleh wakil rakyat dari PKR itu,” kata Ramesh selepas menghadiri satu upacara keagamaan Hindu di kuil berkenaan, baru-baru ini.

Pada majlis sama, Ramesh turut menghulurkan sumbangan dana pembangunan sebanyak RM1,000 kepada pihak pengurusan kuil terbabit.

Rameh juga berkata, pada masa ini tiada lagi istilah ‘kubu kuat’ dalam mana-mana kawasan di Hutan Melintang dan pengabaian wakil rakyatnya membuktikan mereka hanya jadi mangsa penipuan dengan janji manis pembangkang yang semata-mata mahu kuasa semata-mata.

“Tiada makna jika sesuatu kawasan itu dianggap kubu kuat PKR tetapi parti berkenaan tidak mempedulikan nasib rakyat di sana. Jika PKR anggap sesuatu kawasan itu kubu kuat, sudah tentu ADUN mereka turun padang dan buat kerja.

“Kami dari PMSP turun padang atas jemputan pihak kuil di sini untuk menyelesaikan masalah mereka yang sudah lama dihadapi melibatkan kebajikan tempat beribadat kaum India ini,” katanya.

Difahamkan, kawasan ladang estet Jendarata ini tidak berani disentuh oleh mana-mana pihak termasuk parti komponen BN iaitu MIC sebelum ini.

PMSP yang menyokong BN dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak giat melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan menyantuni penduduk Hutan Melintang kerana ingin mendengar aduan serta rintihan masalah daripada rakyat selepas diwakili oleh PKR selama hampir 10 tahun.

Ramesh merupakan anak jati Hutan Melintang dan sejak beliau bertemu serta mendampingi rakyat sejak beberapa bulan lepas, lebih 1,000 aduan diterima membuktikan Kesavan tidak menjalankan tugas sebagai ADUN di kawasan itu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: