Ahad, 1 April 2018

Islam saya ‘tidak betul’ kerana saya berfikir, kata Dr M

 
Bekas perdana menteri berkata tafsiran Islam oleh PAS bertentangan dengan ruh Al-Quran.




PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab dakwaan tidak memiliki kefahaman Islam yang betul, justeru tidak layak memimpin kerajaan, dengan berkata pandangan itu dibawa orang yang tidak gembira dengannya yang menentang rancangan memperkenalkan hukuman keras atas nama pelaksanaan syariah.

Bekas perdana menteri itu, yang sekian lama menentang rancangan PAS untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam, termasuk hudud, berkata pandangan beliau dikutuk kerana dia menggunakan kebijaksanaan dan akal fikiran dalam memahami kitab-kitab Islam.

Beliau menyenaraikan 15 ayat al-Quran yang menyebut tentang kepentingan berfikir.

“Tidak disebut dalam Al-Quran larangan berfikir dan terima sahaja semua pendapat dari pakar Islam bahawa fahaman Islam kamu tidak betul,” katanya dalam laman blognya.

Beliau berkata, tafsiran Islam oleh PAS bertentangan dengan ruh Al-Quran apabila ia menyokong hukuman yang tidak adil dan zalim.

“Keghairahan sesetengah pentafsir menunjuk betapa kerasnya hukum Islam sehingga tidak mengendah keadilan menjadikan agama Islam agama yang tidak berperikemanusiaan. Walhal Islam adalah agama yang adil, bertimbang rasa dan suka bermaaf-maafan dan mengampun dalam menghukum,” katanya.

Beliau mengemukakan contoh draf undang-undang jenayah syariah PAS yang menghendaki 4 saksi bagi membuktikan jenayah rogol, dan berkata ia memangsakan mangsa rogol.

“Jika ia (mangsa rogol) mengandung dan lahir anak maka ia akan dituduh berzina dan sekali lagi akan dihukum rejam dengan batu oleh orang ramai sampai mati,” katanya.

Mahathir juga mempersoal langkah PAS mahu melaksanakan hudud, termasuk hukuman memotong tangan hanya ke atas pesalah beragama Islam, sementara orang bukan Islam tidak dikenakan hukuman sama dan berkata ia tidak adil.

“Hukuman ini tidak adil. Oleh kerana ia tidak adil maka ia bukan Islam. Ia adalah hudud PAS,” kata beliau.

Mahathir dipercayai menjawab tulisan pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kamarul Yusoff yang mempersoalkan kefahaman Islam beliau.

Kamarul merupakan ahli panel dalam sebuah forum yang sebelum ini membincangkan umur Mahathir dan kesesuaian beliau sebagai calon perdana menteri.

Beliau di Facebook berkata kefahaman Islam Dr Mahathir yang tidak tepat menjadikan beliau tidak layak untuk memimpin Malaysia.

Mahathir, 93, adalah calon perdana menteri Pakatan Harapan sekiranya ia memenangi pilihan raya akan datang.

Tiada ulasan: