Rabu, 4 April 2018

Gagal Umum Satu Logo Bukti DAP Kuasa ‘Veto’ Pakatan Harapan – Dr Kamarul

/ Dr Kamarul Zaman Yusoff,


 



27 Februari lalu Tun Dr Mahathir mengumumkan bahawa Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari itu memutuskan bahawa semua empat parti dalam Pakatan Harapan akan menggunakan logo sama dari salah satu logo parti di dalam PRU 14.

6 Mac lalu pula Tun Dr Mahathir mengumumkan bahawa Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari itu memberi tempoh seminggu kepada semua empat parti dalam Pakatan Harapan untuk menentukan logo sama yang akan digunakan di dalam PRU 14.

Khabar terbaru adalah Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini, 3 April, akan mengumumkan logo sama ini di mana kononnya Pakatan Harapan akan menggunakan logo PKR tetapi DAP akan diberikan pengecualian khas untuk menggunakan logonya sendiri.

Jika benar DAP akan diberikan pengecualian khas untuk menggunakan logonya sendiri maka makin terbuktilah dominasi DAP di dalam Pakatan Harapan sehingga ia boleh membatalkan keputusan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 27 Februari lalu.

Apa yang nyata ialah, berdasarkan perkara ini dan beberapa perkara lain seperti kenyataan Datuk Seri Dr Wan Azizah semalam bahawa Tun Dr Mahathir juga turut terikat dengan Manifesto Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir telah hilang kawalan ke atas Pakatan Harapan.

Sudahlah tempoh seminggu daripada 6 Mac, iaitu 13 Mac, yang diumumkan oleh Tun Dr Mahathir untuk menentukan logo sama ini telah jauh dilangkaui, pada akhirnya, jika benar ia begitu, ia mundur ke belakang dengan memberikan pengecualian kepada DAP pula.

Sama-sama kita tunggu kebenaran spekulasi ini nanti, tetapi, jika benar ia begitu, terpaksalah kita akui kehebatan DAP berpolitik sehingga ia boleh membuatkan Tun Dr Mahathir yang saban hari melaungkan keperluan menggunakan logo sama ini terus tunduk kepadanya.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).


Tiada ulasan: