Artikel saya yang terakhir dalam Malaysiakini ialah pada 10 Februari 2018. Sewaktu sedang rancak mengangkat letak tulisan selanjutnya, hati saya menjadi cukup terpukul dengan satu berita yang disumbat ke telinga pada jam 1 pagi dua hari kemudian.
Pada waktu itu saya berada di Ampang, Selangor dalam rangka memenuhi temu janji diatur Kawah Buku untuk membedah personaliti Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Bangi.
Ia dijadual berlangsung pada 13 Februari.
Berita itu tidak lain dari pengesahan daripada isteri saya mengenai kehilangan seorang Aisyah Suraya. Dia - Aisyah Suraya - seorang yang cukup romantik dalam hidup saya. Dia berada cukup tersudut dalam relung hati seorang ayah yang telah 15 tahun mengusap, menyuap, membelai dan mengangkatnya demi mengasuh.
Tersentak dengan tragedi itu, kerja-kerja penulisan saya menjadi betul-betul tersentap. Entah! Saya menjadi gamam setiap kali mahu menulis.
Langsung, saya terpaksa memilih untuk jalan berdamai - antara saya, Aisyah Suraya dan pena - beberapa waktu.
Dari Kota Bharu membawa ke Kuala Terengganu, lalu ke Raub, Kuala Lumpur, Ipoh, Alor Setar, Cameron Highlands, Grik dan Kuala Lipis, saya benar-benar berulang-alik melayan kaki.
Hampir tiada sebarang tujuan, saya bermundar-mandir ke sana ke mari - cuba-cuba mencari sesuatu demi mengubati sesuatu. Namun, hingga ke hari ini pun saya seakan-akan masih belum menemui kesembuhan yang sakti.
Pemergian Tok Guru
Bahkan pada hari pemergian Tok Guru - yang turut jatuh pada tarikh 12 Februari - saya mengalami trauma yang sama. Rupa-rupanya Allah telah takdirkan orang-orang yang terlalu mahal dalam hidup saya itu 'diambil' dalam satu kebetulan tragedi yang bersamaan waktu.
Aisyah - apa istimewanya?
Selain daripada rupa dan raut wajah, rata-rata kita mudah terpaut mengingati seseorang menurut nisbah tinggalan kata-katanya.
Faktor ini kuat menentukan nilai ingatan kita terhadap seseorang sama ada singkat atau sederhana singkat atau kekal abadi selama-lamanya.
Aisyah Suraya kanak-kanak yang dianugerahi daya ingatan yang fotografik.
Sungguh pun beliau lemah dalam melangkah, mengeja dan mengira namun sekali beliau melihat atau mendengar sesuatu yang seni pada perhitungannya, ia cukup lekas menangkap dan menanggap visual dan kata-kata.
Beliau akan cepat menghafal dan mampu mengimbasnya kembali setepatnya, sepenuh kata-kata itu.
Misalnya, seusai kami membaca Yasin setiap minggu di malam-malam tertentu, walau sekali dibaca akan fadilat surah itu berbunyi:
“Mengikut Ma’qal bin Yaasar RA bersabda Nabi SAW: “Hati al-Quran ialah surah Yasin, tidaklah dibacaakan dia oleh seorang lelaki yang mengharapkan Allah dan kampung akhirat melainkan diampun oleh Allah dosanya, dan bacalah surah Yasin kepada mereka yang hampir akan mati dan selepas mati.” (Hadis Abu Daud dan an-Nasai).
Anehnya, Aisyah Suraya mampu mengutip pengertian hadis tersebut lalu disebut sepenuhnya tanpa meninggalkan satu huruf.
Beliau sering mengingatkan waktu solat, menghafal dua pertiga dari surah Yasin, bertutur dalam bahasa Malayu baku dan bahasa Inggeris yang relatifnya bermutu.
Bila ditunjukkan foto arwah Tok Guru atau Pak A Samad Said misalnya, beliau terus mampu mengenali dan menyebut siapa orangnya yang pernah ditemuinya secara live tanpa ragu.
Kelebihan Tok Guru
Allahyarham Tok Guru lebih banyak meninggalkan permata kepada kita melalui untaian kata-kata. Kekeramatan itu - walaupun pendek-pendek - cukup menyentak akal fikiran. Di musim-musim menjelang PRU ke-14 ini, barangkali lebih relevan kita imbau 15 kata-kata berbisanya buat dijadikan pedoman.
- Takut mati atau takut selepas mati
Barang mainan kita beli kepada anak kita untuk selama-lama? Tidak. Lain pada mainan adalah hakikat sebenar iaitu manusia mati. Lepas pada mati itu, syurga ke neraka? Orang takut kepada mati.
Mati tak payah takut. Kalau takut pun, mati juga. Hak yang perlu takut ialah lepas pada mati itu - syurga atau neraka.
- Kagum dengan Dr Mahathir
Yang kedua, dia lantang menyerang Zionis, sungguh-sungguh perangai Yahudi perangai Amerika ni.
Ini yang menyebabkan negara Arab semua hormat, hormat sungguh. Banyak pemimpin negara Arab sendiri senyap, tak mahu menentang, takut itu takut ini sebagaimana yang saya sebut tadi.
Dia (Dr Mahathir) antara pemimpin bukan Arab, pemimpin Melayu, yang tentang sungguh-sungguh perangai Yahudi perangai Amerika. Ini menyebabkan nama baik Malaysia ni masyhur.
- Tok Guru dan bola sepak
Saya masa muda dulu,ketika itu saya main bola belum Perang Jepun lagi sewaktu saya mengaji di pondok Jertih. Lepas sembahyang Asar, saya pergi main. Sampai sekarang lutut sebelah kanan saya ni cedera.
Gomo Klate gomo. Gomo ni memberi erti lain. Gomo tak kira peraturan. Tak kira disiplin. Hak lagu tu saya tak mahu. Hak kita naknya, pemain Kelantan bermain dengan penuh disiplin dengan peraturan cukup. Dapat menang pun kita menang; imej kita pun baik. (Lintas langsung temu bual live dengan Hot FM)
- Apabila PAS berbaik dengan Umno
- Nak tenggelamkan Umno
- Pemandu yang tahu arah
- Rujuklah kepada yang tahu
Pelik sungguh manusia yang mengaku Allah SWT sebagai Tuhan tetapi enggan merujuk kepada syariat Allah apabila berdepan dengan masalah.”
- Tawaduk sambil memahami konsep kerja berpasukan
Saya umpama tuan punya restoran. Jika masakannya baik tuan restoran mendapat pujian sedangkan yang memasaknya ialah tukang masak, yang membeli lauk pauknya ialah pekerja tetapi akhirnya yang dipujinya ialah tuan restoran. (Ucapan di majlis Jasamu dikenang, 14 Mei 2013, Kota Darulnaim.)
- Audit di akhirat tidak akan terlepas
- Umpan wang jamu dedak, ini ayam ini lembu
Tapi kalau nak beri Islam, kita nak panggil ayam cakap nak ceramah, mana ayam datang. Nak panggil lembu, mana lembu datang. Jikalau kita beri barang kepada orang, beri RM10 atau RM50.
Orang akan datang ambil tapi ini bukan cara Islam. Cara Islam ialah, kepada manusia kita beri dia ilmu.
- Rezeki halal itu apa?
Kalau tidak, maka pada lahirnya sahaja ia berupa makanan dan minuman tetapi pada hakikatnya ia adalah bara api neraka yang akan membakar hangus.
- Salasilah Umno
- Antiperkauman
- Menyampaikan Islam kepada Melayu dan bukan Melayu
Kalau kita menghidupkan Islam di kalangan Melayu dan bukan Melayu, bukan setakat di dunia mereka selamat bahkan selepas mati hingga ke syurga mereka selamat.
- Kenali Umno dan wajah proksinya
Penutup
Hidup kadangkala cukup disarati teka-teki. Orang yang tak disangka-sangka boleh di tampilkan oleh Allah SWT ke dalam hidup kita dan boleh juga dengan tiba-tiba diangkat pergi.
Demikian juga dengan pemimpin dalam dunia kepimpinan. Ada yang setia beramanah dan ramai juga yang kecundang. Apa yang sama-sama diikrarkan sewaktu berjuang bersama Tok Guru dahulu kini tanpa segan silu telah berputar 180 darjah.
Senarai semak seperti yang diangkat di 15 kata-kata pesanan Nik Abdul Aziz di atas itu boleh - dengan mudahnya - disukat.
Pendek kata, apabila PAS berbaik dengan Umno (BN), tiada siapa lagi mahu berkawan dengan PAS. Allah akan beri pada orang lain yang ikhlas bela Islam.” Ini soal pedoman . Apakah kata-kata bergeliga yang telah berusia hampir 10 tahun ini tidak membawa erti apa-apa di hati para pemimpin Pas terkini?
P/S: Ops! Maaf. Jangan lupa temu janji kita di peti undi Rabu nanti.
*ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti seni termasuk penulisan dan muzik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan