SHAH ALAM: Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail berkata Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa bersetuju dengan janji
manifesto gagasan itu untuk memansuhkan tol jika berjaya menguasai
Putrajaya kelak.
Azizah berkata Pengerusi PH itu sudah terikat dengan janji-janji
pilihan raya, justeru beliau terpaksa mendokongnya bersama pemimpin
pakatan yang lain.
“Saya tekankan bahawa adanya manifesto yang mengikat dan dipersetujui
oleh semua pimpinan kanan PH termasuk Tun Mahathir,” katanya dipetik
Malaysiakini.
Azizah berkata demikian mengulas laporan Dr Mahathir yang menyuarakan
kebimbangan dengan janji pemansuhan tol, walaupun telah dinyatakan dalam
manifesto pilihan raya PH.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelar pembangkang
kerana mengaku tidak dapat melaksanakan janji pilihan raya mereka
selepas melancarkan manifesto itu pada 8 Mac lalu.
Najib dikatakan merujuk laporan akhbar Singapura Sunday Times pada 25
Mac yang memetik Dr Mahathir sebagai berkata PH mungkin tidak dapat
memenuhi janji-janjinya.
"Antara kami, ada sedikit perbezaan pendapat, tapi saya ada pengalaman
dengan tol. Saya berpendapat kita tidak boleh janji hal seperti itu.
"Sebab itu apabila ditanya, saya tidak bersetuju tol dimansuhkan. Tanpa
tol, kita tidak boleh baiki jalan, dan kita tidak boleh bina jalan
baru. Kita minta sektor swasta yang buat, tapi mereka tidak akan buat
kecuali mendapat pulangan.
"Sebab itu saya bimbang, dan apa yang saya katakan hanyalah kebimbangan saya," Dr Mahathir dilaporkan sebagai berkata demikian.
Bagaimanapun, selepas Dr Mahathir dituduh membuat pusingan-U berhubung
janji pilihan raya PH, beliau menegaskan bahawa semua janji itu dapat
dilaksanakan.
Katanya, janji-janji itu telah dikaji secara terperinci sama ada boleh
dilaksanakan atau tidak namun ada beberapa perkara popular yang tidak
boleh dilaksanakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan