Selasa, 3 April 2018

Asri kritik Hanipa ‘persoal’ Tuhan seperti dialog P Ramlee

 
Mufti Perlis berkata kenyataan wakil rakyat Amanah itu mempersoalkan Tuhan dan tidak patut dikeluarkan.


Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin turut bantah kenyataan ‘kalau saya Tuhan’ oleh Hanipa Maidin.

PETALING JAYA: Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menyelar kenyataan “kalau saya Tuhan” oleh Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, menyifatkannya sebagai kenyataan seolah-olah Tuhan bersalah dalam membuat sesuatu keputusan.

“Kenyataan ‘kalau saya Tuhan, aku takkan ciptakan kamu’, maksudnya kita kritik Tuhan, yang Tuhan ciptakan itu tak patut.

“Kalau bermaksud, contohnya, ‘kalau aku jadi kamu, aku tak pergi’. Apa maksud kita? Maksudnya keputusan kamu pergi itu tidak betul.

“Pada sisi ‘aku’… takpa kita kata kat kawan. Tapi takkan nak kata kat Tuhan,” katanya dalam sebuah ceramah baru-baru ini.

Asri turut mengaitkan ucapan Hanipa itu dengan sepotong dialog dalam filem P. Ramlee, “Ibu Mertuaku”.

“Dialog P.Ramlee ‘kenapakah tuhan jadikan engkau manusia’ tak betul.. salah,” katanya.

Khamis lalu, sesi petang Dewan Rakyat kecoh ketika perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Anti-berita Tidak Benar, selepas Hanipa menyerang Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang mencelah ucapannya.

“Kalau saya Tuhan, dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja. Sudah lama saya hapuskan kamu (Azeez).

“Sebab saya tak Tuhan, Tuhan jadikan juga orang macam kamu,” kata Hanipa dalam kenyataan yang dikutuk pemimpin Umno lain.

Ahli Parlimen PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali kemudian meminta Hanipa menarik balik kenyataan itu yang disifatkan “tidak cantik dan manis”.

Hanipa bagaimanapun enggan menarik balik kenyataannya.

 

Tiada ulasan: