PEMIMPIN PAN, termasuk Presidennya Mohamad Sabu dan Pengarah Hal Ehwal Syariahnya Zolkharnain Abidin al-Abyadhi, sering mencemuh PAS kerana kononnya mengamalkan politik takfiri dan suka melabelkan pihak yang tidak bersetuju dengannya.
Tidak mereka ketahui atau mungkin mereka
lupa bahawa Penasihat Umum PAN Ustaz Ahmad Awang dan Timbalan Penasihat
Umum PAN Ustaz Abdul Ghani Samsudin sendiri biasa memberikan atau
mengongsi label buruk kepada pihak yang mereka tidak setujui.
Berdasarkan rekod, kedua-dua Ustaz Ahmad
Awang dan Ustaz Abdul Ghani yang merupakan mantan Pengerusi Persatuan
Ulama Malaysia diketahui amat kuat mengata Tun Dr Mahathir dengan
beberapa kali menegur Tun Dr Mahathir dalam isu-isu membabitkan akidah
atau syariah.
Antara lainnya, Ustaz Ahmad Awang
menulis, pada 10 Mei 2008, mengenai “tindakan gila kuasa yang melampau
Tun Dr Mahathir (yang meminda perlembagaan mengurangkan imuniti kuasa
Raja-raja) seharusnya boleh dihukum pancung oleh Raja-raja Melayu”.
Ustaz Abdul Ghani pula antara lainnya
mengongsi, pada 24 September 2012, kenyataan media Teras yang menyebut
kekesalan Teras dengan kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengatakan
mengikuti Sunnah dan Hadis tidak wajib untuk menentu hukum Islam sekali
gus menyifatkan Tun Dr Mahathir sebagai tersasar dalam pegangan
akidahnya.
Ustaz Abdul Ghani juga menulis, sambil
mengongsi video Tun Dr Mahathir menyebut “Hudud tiada dalam al-Quran”,
pada 3 Januari 2013, mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa “Hudud
tiada dalam al-Quran” ini dengan menyifatkannya sebagai “kenyataan salah
yang perlu ditarik balik dan menggugat akidah umat Islam”.
Ustaz Abdul Ghani juga mengongsi, pada
19 Februari 2014, kenyataan media Mapim yang menyebut Tun Dr Mahathir
dan Dr Kassim Ahmad sebagai mempunyai pemikiran sesat, sudah lanjut usia
serta mungkin tidak mahu bertaubat dari pegangan yang sesat.
Ustaz Ahmad Awang juga menyebut, dan
Ustaz Abdul Ghani mengongsinya, pada 19 Februari 2014, bahawa Tun Dr
Mahathir berbohong apabila berkata para ulama di negara ini gagal
melawan Dr Kassim Ahmad dengan hujah lalu melabelkannya ‘anti-hadis’.
“Boleh dihukum pancung”, “Tersasar dalam
pegangan akidah”, “Penggugat akidah umat Islam”, “Mempunyai pemikiran
atau pegangan sesat” dan “Pembohong” adalah label-label amat keras yang
pernah diberi atau dikongsi oleh Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul
Ghani.
Tun Dr Mahathir pula tidak diketahui
pernah meminta maaf mahupun menarik balik pelbagai kenyataan yang
menyebabkan beliau dilabel sebagai “Tersasar dalam pegangan akidah”,
“Penggugat akidah umat Islam” dan “Mempunyai pemikiran atau pegangan
sesat” ini.
29 Mac lalu, Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz
Abdul Ghani merendahkan diri 'mengadap' Tun Dr Mahathir di Yayasan
Kepimpinan Perdana sehingga, menurut catatan Ustaz Abdul Ghani, mereka
sanggup menunggu giliran untuk berbuat demikian.
Berdasarkan gambar ditunjukkan dan
catatan Ustaz Abdul Ghani mengenai “mengukuhkan hubungan silaturahim”,
tidak logik pertemuan itu bertujuan mendesak Tun Dr Mahathir meminta
maaf mahupun menarik balik pelbagai kenyataan kontroversi beliau.
Tidak diketahui Ustaz Ahmad Awang dan
Ustaz Abdul Ghani pernah menegur Tun Dr Mahathir, mahupun pemimpin DAP,
sejak mereka dan parti mereka, PAN, bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir
dan parti beliau, PPBM, mahupun DAP.
Bila Penasihat Umum dan Timbalan
Penasihat Umum PAN sendiri sudah tunduk mengalah kepada Tun Dr Mahathir
dalam isu-isu membabitkan akidah atau syariah maka tidak hairanlah
pemimpin PAN lain seperti Hanipa Maidin boleh lepas bebas. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan