KEPALA BATAS: Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden
dinamakan sebagai calon parti itu bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Pengumuman mengenainya dibuat sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam majlis di sini, malam tadi.
Bercakap kepada media selepas itu, Afnan Hamimi, 37, yang juga Ketua
Pemuda PAS Pulau Pinang, yakin strategi dirangka parti akan
memungkinkannya melakukan kejutan pada persaingan Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14).
Penamaannya bermakna kerusi berkenaan bakal menyaksikan pertandingan
sekurang-kurangnya tiga penjuru, dengan berkemungkinan Presiden PKR,
Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, turut mempertahankan kedudukannya.
PAS bertanding di Permatang Pauh sejak 1969 sebelum menyerahkan kerusi itu kepada PKR pada PRU 1999.
Kerusi berkenaan pernah disandang Barisan Nasional (BN) menerusi bekas
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1982.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, pengumuman calon Parlimen Permatang
Pauh dibuat lebih awal berikutan beberapa faktor, selain kawasan
berkenaan disifatkan istimewa kepada PAS.
Ditanya sama ada beliau kekal bertanding di kerusi Parlimen Marang,
Abdul Hadi berkata, ia tertakluk kepada keputusan parti, selain
kepemimpinan PAS juga belum memuktamadkan keputusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan