Khamis, 1 Februari 2018

Tular senarai calon PAS perbuatan orang 'tak ada kerja'

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Penularan senarai yang memaparkan nama-nama calon PAS bagi kerusi DUN dan Parlimen di Kelantan, dilakukan oleh pihak yang 'tidak ada kerja'.
 
Sambil menafikan perkara berkenaan, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu sendiri belum menetapkan calon muktamad yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14).
 
“Sesiapa sahaja boleh tularkan apa-apa senarai termasuk calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
 
“Kita sudah siapkan calon-calon cadangan iaitu tiga nama bagi setiap kerusi tetapi senarai yang tular itu bukan daripada kami.
 
“Sekarang ni keutamaan kita pertahankan Kelantan dahulu, calon dipilih dari yang berpotensi menang dan selepas itu baru kita fikir siapa hendak dilantik jadi Exco,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas senarai ‘Calon Cadangan Formula Kemenangan PAS Kelantan’ yang tersebar sejak semalam.
 
Senarai itu memaparkan 45 nama bagi kerusi DUN dan 14 nama untuk Parlimen di Kelantan.
 
Memetik senarai itu, nama Mohd Amar disenaraikan sebagai calon PAS yang bertanding di kerusi Parlimen Pengkalan Chepa, manakala kerusi DUN Panchor yang disandangnya sekarang akan ditandingi oleh penyandang kerusi Parlimen tersebut iaitu Dr Izani Husin.
 
Malah senarai itu juga memaparkan satu-satunya exco wanita dalam kerajaan negeri iaitu Mumtaz Md Nawi pula digugurkan daripada bertanding sebarang kerusi.
 
 

Tiada ulasan: