Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Agihan kerusi di Selangor akan terus dirunding menerusi
Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor sehingga
pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengarahkan jawatankuasa khas
ditubuh untuk tujuan itu.
Demikian penegasan Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier
Jayakumar selepas ditanya perkembangan terbaru penubuhan jawatankuasa
khas di Selangor yang diumumkan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad,
semalam.
Xavier yang juga Naib Presiden PKR berkata, pihaknya akan menghantar
surat kepada PPBM, Amanah dan DAP untuk menyertai rundingan menerusi
jawatankuasa pilihan raya itu, memandangkan masa semakin suntuk.
"Kalau Azmin bagi arahan untuk tubuh satu jawatankuasa, kita ikutlah
dan kita akan buat. Kalau tiada (arahan), saya ingat jawatankuasa yang
ada sekarang, saya kira kita tukar nama sahaja kepada jawatankuasa khas,
dan orang yang sama juga hadiri mesyuarat ini, bukan orang lain.
"Sebab orang yang akan hadir kena ada kuasa untuk buat satu pendirian
bila kita bincang tentang kerusi," katanya kepada Antarapos.
Semalam Dr Mahathir dalam sidang media PH semalam menjelaskan,
jawatankuasa khas itu perlu ditubuhkan selepas berlaku kekeliruan
berhubung peranan jawatankuasa pilihan raya PH Selangor yang
dipengerusikan Xavier.
Menurut Dr Mahathir, PH Selangor masih gagal memuktamadkan soal agihan
kerusi ekoran 'salah faham berhubung jawatankuasa yang betul' untuk
mengadakan rundingan.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Xavier yang juga ADUN Sri Andalas
berkata, kegagalan memuktamadkan rundingan berkenaan turut berpunca
daripada sikap segelitir parti dalam PH yang berebut kerusi.
"Semua parti nak kerusi, semua parti politik begitu, itu saya setuju.
Tapi di negeri Selangor, berilah Keadilan (PKR) jadi parti utama dalam
Selangor untuk pimpin negeri.
"Selangor ini diperintah dan dipimpin Keadilan (PKR). Jadi kita-lah nak
dapatkan majoriti kerusi dalam negeri ini. Serupa dengan Johor di mana
Bersatu (PPBM) dapat kerusi (DUN) lebih walaupun ia baru dalam koalisi,
tapi kita hormati," katanya.
Malah Xavier menambah, PKR perlu terus diberi kepercayaan untuk
memimpin Selangor memandangkan rekod pentadbiran parti itu di negeri
berkenaan sejak dua penggal lalu menunjukkan prestasi cemerlang.
"Sebab apa Selangor saja kita kena adakan satu pertikaian bahawa siapa
yang akan ketuai? Saya ingat Selangor telah buktikan bahawa pemimpin
Keadilan (PKR) telah bawa perubahan banyak.
"Dan sekarang jika dibanding dengan kajian yang dibuat, penerimaan kita
sebagai parti unggul di Selangor telah naik tinggi, kita-lah nak
dapatkan majoriti kerusi walaupun kita akan sama-sama kerja dengan parti
lain PH. Mereka pun akan diberi kerusi.
"Apa yang Pengerusi PH (Dr Mahathir) kata? Kemenangan adalah prioriti
nombor satu. Apa yang dikata, itulah yang saya ikut selalu. Kita kita
menang dulu, lepas itu kita boleh perubahan di Selangor," tegasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan