Selasa, 6 Februari 2018

Tiada lagi alasan ROS lengahkan pendaftaran Pakatan Harapan


 Oleh

Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak lagi mempunyai alasan untuk melengah-lengahkan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) serta logo yang telah dicadangkan sebelum ini kata Timbalan Pengerusi Kebangsaan, Gobind Singh Deo.

Menurutnya, isu melibatkan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP telah pun selesai dan berharap ROS dapat memberikan maklum balas mengenai pendaftaran PH secepat mungkin.

“Pada 20 november 2017 lalu, satu pertemuan telah diadakan antara ROS dan wakil-wakil PH di mana kami tanya tentang status pendaftaran PH dan logo.

“Saya difahamkan oleh kerana wujud masalah mesyuarat agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan CEC DAP, maka pendaftaran PH tak dapat diputuskan lagi.

“Sekarang, apa yang menjadi masalah pada 20 November telah pun selesai. Saya dimaklumkan PPBM sudah pun laksanakan apa yang diperlukan dan hantar laporan kepada ROS baru-baru ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP sebentar tadi.

Ahli Parlimen Puchong itu berharap agar ROS dapat memberikan maklum balas mengenai pendaftaran PH secepat mungkin dan akan menulis surat kepada agensi itu berhubung perkara tersebut.

“Tidak ada sebab ROS untuk lengah-lengahkan perkara ini lagi. Kami akan tulis surat kepada ROS berikan had masa supaya mereka balas persoalan mengapa belum lagi pendaftaran pakatan harapan diluluskan.

“Jika masih tak dapat jawapan kita akan mengambil tindakan mahkamah supaya kami dapat memutuskan perkara itu sebab masa ini itulah yang kita cadangkan,” katanya lagi.

ROS pada 3 Februari dilaporkan telah mengesahkan bahawa pemilihan semula CEC DAP pada 12 November tahun lalu yang telah diaudit oleh firma antarabangsa Grant Thornton mematuhi syarat sebagaimana ditetapkan jabatan itu.

Surat makluman mengenai pengiktirafan kepimpinan tertinggi DAP itu telah dikeluarkan semalam, 5 Februari 2018. – Roketkini.com

Tiada ulasan: