LANGKAWI: Satu siasatan terperinci akan dilakukan bagi mencari punca
kegagalan sistem hingga lebih 1,000 pelancong terkandas, semalam,
demikian dimaklumkan Anggota lembaga Panorama Langkawi Sdn Bhd Datuk
Azizan Noordin.
Katanya, walaupun kegagalan sistem gelangsar dikenal pasti sebagai
punca perkhidmatan kereta kabel itu tergendala, namun siasatan
terperinci melibatkan bahagian kabel akan dilaksanakan bagi memastikan
perkara tidak diingini berulang pada masa depan.
“Kami akan menjalankan pemeriksaan (untuk mengetahui punca kegagalan
sistem),” katanya kepada pemberita selepas melawat pelancong terkandas
awal pagi tadi.
Berdasarkan kiraan terakhir, sebanyak 1,048 pelancong dan 78 kakitangan
syarikat kereta kabel terkandas kira-kira 7 jam sebelum berjaya
diselamatkan secara berperingkat antara 9 malam hingga 12 tengah malam
tadi.
Insiden yang dilaporkan bermula pada 5.48 petang sehingga menjejaskan
sistem kereta kabel itu dikatakan terburuk pernah berlaku sejak ia mula
diperkenalkan sebagai produk pelancongan Langkawi pada 2002.
Azizan, yang juga ketua pegawai eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi
(LADA), berkata pasukan teknikal Panorama Langkawi mula menggerakkan
sistem secara manual kira-kira 9.00 malam untuk membolehkan 88 pelancong
yang terkandas dalam 16 gondola diturunkan ke stesen pangkalan.
Beliau berkata penggerak manual yang hanya dibenarkan untuk pergerakan
minimum kereta kabel itu mampu menurunkan beberapa pelancong hingga
stesen pertengahan sambil memberi alternatif kepada pihaknya mendapatkan
alat ganti untuk dipasang bagi memulihkan sistem sepenuhnya.
“Seluruh sistem berjaya dipulihkan kira-kira 11 malam bagi membolehkan
kita mula memindahkan semua pelancong dan kakitangan yang terkandas,”
katanya.
Beliau berkata kejadian itu turut menguji keberkesanan pasukan
pengurusan krisis di pulau itu, yang antara lain melibatkan Jabatan
Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa badan
bukan kerajaan.
Beliau berkata pasukan Bomba dan Penyelamat bergabung dengan unit
teknikal Panorama Langkawi dengan mendaki lebih 600 meter sebelum tiba
ke stesen tengah kereta kabel, iaitu sebagai alternatif pertama untuk
membawa bahagian gantian gelangsar yang gagal.
Ujarnya, PDRM menerusi Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Che Ghazali Che
Awang turut menyediakan dua bas polis bagi membantu membawa mangsa
pulang ke penginapan masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan