KEMAMAN: Sekolah Rendah
Islam Darul Taqwa Kemaman (SRIDTK) telah mengadakan majlis makan, solat
hajat dan pelancaran derma bagi pembinaan bangunan 4 tingkat di Bakau
Tinggi, di sini semalam.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz
Alias Abdul Hamid berkata, SRIDTK bermula sekitar 29 tahun lalu
dengan 13 pelajar dan kini 425 pelajar, menunjukkan masyarakat sudah
menerima sistem persekolahan berteraskan Pendidikan Islam.
Menurut Mudir SRIDTK, Ustaz Zahari
Draman, dalam tempoh itu, sekolah tersebut telah tiga kali berpindah
iaitu lokasi awalnya di Pasir Minal, kemudian Injin Gergaji, sebelum
beralih ke Bakau Tinggi.
“Ketika ini, kadar pengambilan pelajar
untuk tiga kelas adalah 90 hingga 100 pelajar. Namun sekarang permintaan
mencecah sehingga 150 pelajar dan kita terpaksa tolak.
“Atas sebab inilah, kami mengambil
inisiatif untuk membina bangunan 4 tingkat yang menelan belanja RM2.8
juta dan bangunan ini dilengkapi dengan 23 bilik pelajar, satu bilik
mesyuarat, satu bilik komputer, satu perpustakaan, satu makmal sains,
tandas dan dua bilik guru.
“Ketika ini kami mempunyai 425 orang
pelajar, 28 orang guru. Pencapaian kami tahun lalu, tiga orang pelajar
mendapat 13A dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah Islam (UPSRI) dan
seorang 6A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah SRIDTK,
Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek mengharap semua pihak terus mendokong
usaha ke arah memajukan institusi pendidikan yang menyumbang jasa
kepada pembangunan ummah itu.
Sebarang sumbangan boleh disalurkan
menerusi nombor akaun Maybank 563028615148 (Sekolah Rendah Islam Darul
Taqwa) atau Bank Islam 13026020421257 (Tabung Kebajikan Darul Taqwa).
Sebarang pertanyaan hubungi, Ustaz Zahari, 011-37529678 atau Ustaz Shukri, 019-9855895. -HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan