KUALA LUMPUR: Dua laman berita atas talian diarahkan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menurunkan beberapa
artikel yang didakwa melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998.
Melalui surat SKMM bertarikh 15 Februari, dua laman berkenaan adalah Malaysia Today dan The Malaysian Insight.
SKMM mengarahkan Malaysia Today menurunkan artikel yang disiarkan pada
11 Februari bertajuk "First Lady AGC Walking The Path of Grace Mugabe".
The Star Online melaporkan, artikel berkenaan dipercayai merujuk kepada
Faridah Bagum, isteri Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang
sebelum ini membuat laporan polis terhadap Malaysia Today.
Surat berkenaan turut menyatakan bahawa SKMM telah menerima aduan awam
berkenaan artikel itu dan Malaysia Today diarah memadamkan artikel
berkenaan sebelum jam 4.00 petang tadi.
Sementara itu, The Malaysian Insight pula diarah menurunkan tujuh artikel.
Kesemua lapan artikel dari dua portal berkenaan dipercayai melaporkan
berkenaan isu semasa dan politik tempatan yang kritikal terhadap parti
politik dan pemimpin tertentu.
SKMM turut mengingatkan agar portal berkenaan lebih prihatin dalam
memastikan artikel yang diterbitkan tidak menyalahi mana-mana peruntukan
undang-undang Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan