Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: PKR selaku pemegang tampuk pentadbiran kerajaan negeri
sewajarnya lebih bertolak ansur, bukannya mendominasi rundingan agih
kerusi Pakatan Harapan (PH) peringkat Selangor yang masih gagal
dimuktamad sehingga kini.
Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara
Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusof berkata, ketidakpuasan hati rakan
komponen parti itu bakal menjejaskan peluang untuk terus mempertahankan
Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
"PKR selaku parti yang menguasai pentadbiran negeri Selangor,
sewajarnya lebih bertimbang rasa terhadap parti lain. Jangan nak
membolot semua kerusi kepada diri mereka sahaja. Jika mereka masih mahu
mempertahankan penguasaan PH di Selangor. Sebab tanpa sokongan parti
komponen PH, sudah tentu peluang untuk PH menang di Selangor itu akan
menurun.
"Kalau hanya berdasarkan kerusi yang dimenangi maka PKR itu sebenarnya
tidak banyak pun PAS dan DAP lebih kuat di Selangor. Cuma apa yang
berlaku ialah PKR Selangor ini sebab ada jawatan Menteri Besar, maka
banyaklah kuasa yang dipunyai olehnya," katanya ketika dihubungi
Antarapos hari ini.
Mesyuarat rundingan khas PH Selangor bagi mengagihkan kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) untuk PRU14, masih gagal mencapai kata putus
meskipun sudah menjangkaui tarikh akhir.
Sebuah portal melaporkan, berdasarkan keputusan awal, PKR dikatakan
akan bertanding 19 kerusi DUN, DAP (18), PPBM (10), dan Amanah
(sembilan) kerusi.
Menurut sumber, dalam mesyuarat yang berlangsung dalam keadaan tegang
itu, wakil PKR secara terbuka menyatakan parti itu perlu menjadi ketua
dalam PH selain bakal akan bertanding 19 kerusi.
Ia menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pemimpin PPBM dan
Amanah, yang turut dimaklumkan arahan berkenaan datang daripada Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali selaku Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri
Besar.
Manakala, PPBM dan Amanah masing-masing akan bertanding 12 kerusi disandang Barisan Nasional (BN) serta 13 kerusi milik PAS.
Walau bagaimanapun Kamarul Zaman turut berpandangan, dalam soal
rundingan agih kerusi itu, parti komponen PH, PPBM dan Amanah dinasihati
untuk tidak terlalu bercita-cita tinggi dan tamak.
"PPBM sendiri pun tidaklah boleh terlalu tamak. PPBM dan Amanah sendiri
tidak boleh terlalu tamak untuk bertanding di semua kerusi yang
dimiliki oleh Umno. Bila Umno 12 kerusi, jadi semua kerusi Umno ini PPBM
nak bertanding," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan