PUTRAJAYA: Semua aduan yang dibangkitkan ahli PPBM sedang diteliti, dan
bukan 'diperam', kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftar Pertubuhan
(RoS), Surayati Ibrahim.
Beliau berkata, siasatan terhadap semua 249 aduan yang dikemukakan ahli
PPBM setakat ini berjalan lancar, sambil menambah, semua aduan
berkenaan perlu diteliti satu persatu termasuk memanggil individu
berkaitan dari semasa ke semasa bagi melengkapkan siasatan.
"Kami menerima banyak dokumen mengenainya (aduan) dan ia akan diteliti.
Kami tidak boleh maklumkan berapa banyak aduan sudah disiasat," katanya
dipetik Berita Harian.
Terdahulu, sebilangan ahli parti itu menyuarakan rasa tidak puas hati
ekoran aduan yang dikemukakan mereka, khususnya bersabit isu pelanggaran
perlembagaan, masih belum ada sebarang tindakan daripada RoS.
Sehubungan itu pihak berkenaan mengancam akan mengadakan demontrasi di
hadapan pejabat RoS sekiranya jabatan itu enggan melakukan sesuatu
mengenai isu berkenaan dalam tempoh dua minggu yang ditetapkan.
Dalam pada itu kata Surayati, aduan berkenaan boleh diselesaikan lebih awal jika segera dikemukakan secara rasmi kepada RoS.
Ujar Surayati, pihaknya mula menerima aduan daripada ahli PPBM sejak
awal bulan lalu, terutama membabitkan dakwaan perlanggaran perlembagaan
parti berkenaan.
"Kalau kami terima lebih awal, mungkin boleh selesai cepat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengenai tindakan protes yang mungkin dilakukan ahli PPBM di hadapan
ibu pejabat agensi berkenaan, Surayati berkata, perkara itu diserahkan
kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan