PUTRAJAYA: Pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada
12 November tahun lalu mematuhi syarat diarahkan Jabatan Pendaftaran
Pertubuhan (RoS).
Jabatan itu mengesahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan media,
dan pihaknya akan mengeluarkan surat makluman mengenai keputusan itu
pada Isnin ini.
Menurut kenyataan itu lagi, firma audit antarabangsa Grant Thornton
yang dilantik oleh DAP sudah mengemukakan laporan penuh CEC berkenaan
melalui surat bertarikh 27 November 2017.
ROS berkata pihaknya akan mengeluarkan surat makluman mengenai keputusan itu pada Isnin ini.
"Oleh itu, ROS juga bersetuju supaya laporan penuh pelaksanaan
pemilihan semula itu disimpan oleh firma Grant Thornton mengikut tempoh
masa wajar sepertimana keperluan perlembagaan parti," katanya.
RoS mengingatkan bahawa setiap parti dan pertubuhan berdaftar hendaklah
mentadbir dan menjalankan setiap urusan mengikut kehendak Akta
Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan perlembagaan berdaftarnya.
Dalam pada itu, katanya, RoS turut menerima 17 aduan berhubung
pemilihan semua CEC itu masing-masing dari Selangor, Negeri Sembilan dan
Pulau Pinang.
"Daripada 17 aduan yang diterima hanya lapan pengadu yang mempunyai
maklumat lengkap dan hadir memberi keterangan berkenaan aduan yang
dibuat manakala baki sembilan pengadu lagi, maklumat pengadu adalah
tidak lengkap.
"Selain itu, terdapat juga pengadu yang tidak memberikan kerjasama
untuk memberi keterangan. Bagaimanapun, RoS berpuas hati dengan siasatan
yang dilaksanakan dan semua aduan sudah ditutup," katanya.
Pada pemilihan 12 Nov lepas, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng kekal menganggotai CEC selepas mendapat antara undi terbanyak.
Kit Siang, selaku pemimpin veteran DAP memperoleh 1,199 undi manakala
anaknya Guan Eng memperoleh 1,180 undi dan kekal sebagai setiausaha
agung parti.
Pemilihan semula CEC DAP dilaksanakan pada 12 November tahun lalu di Ideal Convention Centre Shah Alam, (IDCC).
Pemilihan semula kali kedua diadakan Jawatankuasa Tertinggi Pusat
selepas ROS tidak mengiktiraf pemegang jawatan utama melalui pemilihan
semula pada 29 September 2013.
Pemilihan semula diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai
nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP
bertarikh 15 Disember 2012, iaitu membabitkan 2,576 perwakilan daripada
865 cawangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan