GEORGETOWN: Kilang memproses dan mengeluarkan kopi segera berperisa
durian MyCafe didapati berdaftar dan mempunyai sijil Amalan Pengilangan
Baik (GMP) selepas pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa beberapa hari
lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah berkata,
kilang itu juga didapati mematuhi syarat pensijilan yang diberikan.
Namun pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada berlaku pencemaran di sepanjang proses membuat kopi tersebut.
"Kita telah membuat lawatan dan pemeriksaan ke kilang tersebut sejurus
kejadian yang menimpa mangsa dilaporkan. Kilang yang beroperasi sejak
2009 yang terletak di Seberang Perai itu, mempunyai GMP.
"Namun, siasatan masih dijalankan sama ada kelainan campuran pada
serbuk kopi iaitu pencemaran boleh berlaku di sepanjang rantaian (dari
ia diproses di kilang hinggalah ke cawan kopi). Oleh itu, siasatan perlu
diteliti di setiap sudut," katanya dilaporkan Sinar Harian.
Dalam kejadian 30 Januari lalu, dua pengawal keselamatan warga Nepal
mengalami sesak nafas dan sakit dada sebelum pengsan selepas meminum
kopi tersebut yang diberikan seorang wanita ketika kedua-dua mangsa
sedang bertugas di Pulau Tikus di sini.
Sebelum itu, dua wanita turut dikejarkan ke hospital selepas mengalami
simptom sama kerana dipercayai meminum kopi tersebut yang diberikan oleh
orang awam sebagai barangan derma kepada sebuah tokong.
Kes tersebut kini disiasat polis berikutan keputusan analisa
menunjukkan kopi tersebut dicampur dengan bendasing disyaki dadah oleh
mereka yang tidak bertanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan