Rabu, 21 Februari 2018

Pembantu rumah: Duta Malaysia bertemu menteri Indonesia

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dijangka bertemu Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Hanif Dhakiri hari ini bagi membincangkan isu pekerja dan pembantu rumah warga Indonesia di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sendiri telah menghubungi Zahrain untuk menyatakan empat perkara penting mengenai pendirian Malaysia dalam isu berkenaan supaya disampaikan semasa pertemuan terbabit.

Perkara itu, antara lain, katanya adalah mengenai komitmen kerajaan Malaysia untuk terus menjalinkan kerjasama dengan Indonesia dalam pengambilan tenaga kerja dari negara itu.

“Kita saling memerlukan kerana mereka perlu menghantar tenaga kerja ke luar negara termasuk Malaysia dan kita juga memerlukan tenaga kerja untuk bekerja di Malaysia, dalam hal ini pendekatan kita adalah ‘win-win’,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pra pelancaran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 dan Pameran Keselamatan Antarabangsa Asia (Natsec) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau juga mahu supaya Zahrain memaklumkan pihak Indonesia mengenai kes-kes penderaan yang dilapor berlaku terhadap pembantu rumah warga Indonesia di sini adalah merupakan kes terpencil.

“Kerajaan Malaysia dan pasukan penguatkuasaan juga tidak akan pernah melindungi sebarang isu penderaan, bukan sahaja terhadap pembantu rumah tetapi semua pekerja warga asing.

“Kita juga meminta supaya memorandum persefahaman yang telah tamat pada tahun 2016 dikemas kini dan perundingan lanjut harus dilakukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai 11 etnik Uighur yang kini ditahan di negara ini selepas meloloskan diri dari Penjara Thailand, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan mengambil langkah diplomasi dalam menyelesaikan isu terbabit dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kemanusiaan.

“Kita sedang uruskan dengan pihak Thailand di mana sebahagian mereka ditahan di negara berkenaan,” katanya.– Bernama

Tiada ulasan: