Isnin, 5 Februari 2018

PAS tawar ramai muka baru kepada pengundi

DETIK DAILY



Presiden PAS berkata, parti itu telah memuktamadkan senarai calon yang akan diturunkan untuk bertanding pada plihan raya umum (PRU) ke-14.

Menurut Datuk Seri Abdul Hadi Awang lagi, senarai calon yang dikemukakan oleh PAS negeri-negeri juga telah diluluskan Majlis Syura Ulama tiga minggu lalu.

Memetik kenyataan Abdul Hadi, Sinar Harian melaporkan anggota parlimen Marang itu membayangkan ada ramai muka baru diberi kepercayaan mewakili PAS nanti.

"Mungkin ramai muka baru sebab (calon) lama dah berusia," katanya.

Abdul Hadi menambah PAS juga akan menurunkan ramai calon wanita serta individu bukan Islam - sesuatu yang pernah dilakukan parti tersebut sebelum ini.

Tidak seperti dua PRU lalu PAS kali ini turun bersama kumpulan Gagasan Sejahtera yang turut dianggotai Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Parti Cinta Malaysia (PCM), dan Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (BERJASA).

Bagaimanapun sebelum ini Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membayangkan jika ada calon dari parti komponen itu mahu bertanding mereka perlu menggunakan lambang PAS.

Pada masa sama pemilihan calon-calon baru itu juga dipercayai ada kaitan dengan kesan krisis dalaman PAS yang menyaksikan sebahagian daripada wakil rakyat mereka menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sementara itu Abdul Hadi sekali lagi menegaskan bahawa PAS akan bertanding di 130 buah kerusi parlimen di seluruh negara.

Katanya, PAS akan meletakkan calon di kawasan yang akan ditandingi BN dan HARAPAN. "Mungkin banyak lagi (kerusi). Kita akan bertanding di kawasan BN dan Pakatan Harapan bertanding," katanya.

Mengenai Gagasan Sejahtera pula, Abdul Hadi memberitahu sehingga kini, PAS mengumpulkan puluhan pertubuhan bukan kerajaan selain IKATAN, BERJASA dan PCM.

Tiada ulasan: