DETIK DAILY
Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
PERTELAGAHAN terbuka antara PKR dan PAN di Selangor mengenai agihan
kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14
memang sudah diduga berdasarkan ketegangan yang telah wujud antara
kedua-dua buah parti ini lama sebelum ini.
Tempelakan Pengerusi PAN Selangor, Ir Izham Hashim, ke atas kelayakan
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memegang jawatan Pengerusi Pakatan
Harapan (PH) Selangor juga tidak mengejutkan kerana pemimpin PAN lain
pun pernah mempertikaikan perkara ini.
Begitu juga dengan kritikan Ketua Pemuda PAN Selangor, Abbas Azmi, ke
atas Azmin yang didakwa berbohong dengan menyatakan PH Selangor sudah
bermesyuarat membincangkan agihan kerusi yang menampakkan kemarahan PAN
ke atas beliau.
Tuntutan Abbas supaya Azmin menarik semula tuduhan PAN parti pembohong
dan tidak amanah juga mudah difahami kerana ia melibatkan maruah dan
integriti PAN sebagai sebuah parti yang memperjuangkan konsep Islam
sebagai rahmat untuk seluruh alam.
Ketidakpuasan hati PAN ke atas Azmin sudah berlaku sebelum
berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada Jun 2016 lagi
bila cadangan Azmin supaya PH mengelakkan pertandingan tiga penjuru
dengan PAS di situ telah memarahkan PAN.
Azmin dan pemimpin PKR Selangor dilihat tidak percaya dengan kemampuan
PAN untuk menarik sokongan pengundi Melayu yang sebelum ini mengundi PAS
kepada PH dan ini terbukti dengan kegagalan PAN berbuat demikian di
Sungai Besar.
Selepas berlangsungnya PRK Sungai Besar, dapatan kaji selidik Institut
Darul Ehsan bahawa PAN hanya mempunyai 1 peratus sokongan
digembar-gemburkan, dan ini diteruskan oleh kenyataan Timbalan Ketua
AMK, Dr Afif Bahardin, beberapa hari lalu.
Begitu juga kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor merangkap Setiausaha
Politik Azmin, Shuhaimi Shafiei, pada Disember 2016 supaya PAN tidak
meletakkan calon di negeri Selangor yang ditempelak oleh Pengarah
Komunikasi PAN, Khalid Samad.
Pertelingkahan ini berterusan dengan tekanan PAN kepada Azmin supaya
merombak pentadbiran negeri dengan menggantikan Ahli EXCO dan penjawat
kerajaan negeri lain yang disandang oleh pemimpin PAS dengan pemimpin
PAN yang tidak beliau hiraukan.
Paling memeritkan adalah bila Timbalan Pengerusi PAN Selangor, Ir Saari
Sungib, diselar oleh Azmin dengan tweet berbunyi “SaariSungib nak jadi
pengemis untuk jawatan Exco ke” bila Saari mengkritik tindakan Azmin
mengekalkan PAS dalam pentadbiran negeri.
Kesemua ini menunjukkan Azmin dan pemimpin PKR Selangor tidak akan
memberikan laluan mudah kepada PAN di Selangor malah mereka masih
berusaha bekerjasama dengan PAS bagi memastikan kemenangan beliau dan
calon-calon PKR lain di negeri itu.
Keadaan ini menyebabkan PAN yang sangat tersepit menyerang Azmin, dan
dengan sokongan DAP kepada PAN, sukar untuk dibayangkan Azmin akan mampu
bertahan sebagai Menteri Besar Selangor jika PH masih mampu memenangi
negeri itu.
Selain sokongan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, kepada Izham, sikap
anti Azmin tergambar di dalam kenyataan Ahli Jawatankuasa Eksekutif
Pusat DAP, Ronnie Liu Tian Khiew, bahawa Azmin tidak layak memegang
jawatan Pengerusi PH Selangor.
Tidak dinafikan ada usaha akan dibuat untuk cuba menyelesaikan
pertelagahan antara PKR dan PAN di Selangor ini tetapi adalah diyakini
bahawa mereka amat sukar didamaikan kerana luka bahana kata-kata sangat
pedih yang dilontarkan adalah sangat mendalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan