Sabtu, 10 Februari 2018

Parlimen Arau kembali panas ?

DETIK DAILY

UMUM mengetahui Perlis kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.
Setiap kali pilihan raya, BN boleh dikatakan menyapu bersih kesemua tiga kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Arau, Padang Besar dan Kangar.
Daripada ketiga-tiga kerusi tersebut, Parlimen Arau selalunya panas dengan menyaksikan persaingan sengit khususnya antara Pas dan BN.

Malah, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Arau pada 1998 telah menyaksikan Pas buat pertama kalinya berjaya memecahkan dominasi BN di situ.

Pada PRK itu, calon Pas, Hashim Jasin (kini Mursyidul Am Pas) menewaskan calon BN, Datuk Ismail Kassim (Ahli Dewan Undangan Negeri - ADUN Tambun Tulang) dengan majoriti seba­nyak 1,323 undi.

Sejak daripada itu, perebutan kerusi Parlimen tersebut terus sengit terutama membabitkan pertembungan antara bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Harun Din dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Meskipun kemenangan sentiasa berpihak kepada Shahidan namun apa yang pasti kedua-dua mereka adalah ‘rivalry’ (saingan) paling epik pernah direkodkan dalam sejarah pilihan raya di negeri ini.

Malah, Harun juga hampir mencipta kejutan pada pilihan raya 2008 apabila tewas tipis dengan majoriti hanya kira-kira 300 undi iaitu kepada Ismail.

Ramai pemerhati politik yang beranggapan faktor kekuatan Pas di kawasan itu adalah disebabkan aura Harun.

Namun setelah pemergian Harun sejak dua tahun lalu, Pas negeri dikatakan tiada tokoh terbaik untuk diketengahkan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun dengan 'kemunculan semula' Hashim bagi berhadapan dengan Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) nanti, mungkinkah akan menghangatkan pertandingan bagi merebut kerusi itu.

Untuk rekod, kali terakhir Hashim bertanding adalah pada pilihan raya 2008.

Dalam pada itu, kekuatan BN di Perlis pula dikatakan terletak pada aura Shahidan yang pernah memegang jawatan Menteri Besar sejak 1995 hingga Mac 2008.

Malah Shahidan juga cukup sinonim dengan penduduk di Arau selain banyak membawa perubahan dan pembangunan kepada rakyat.

Kekuatan Hashim yang juga Muryidul Am Pas pula turut tidak boleh dipandang rendah kerana mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri khususnya di kawasan Arau.

Malah jangan lupa, Hashim pernah mencipta kejutan dengan menang pada PRK 1998 lalu selain pernah menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang sejak 1999-2008.

Selain itu, kawasan Parlimen ber­kenaan juga bakal mencipta sejarah baharu apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut akan meletakkan calon bagi mewakili Pakatan Harapan diketuai DAP, yang sekali gus akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru di kerusi yang hanya sinonim antara Pas BN itu.

Namun, parti serpihan itu dijangka tidak mampu memberi saingan kepada BN dan Pas di kawasan tersebut.

Apa yang pastinya, Parlimen Arau sentiasa penuh dengan warna-warni politiknya.
 
 

Tiada ulasan: