KUALA LUMPUR – Seorang pakar ortopedik menegur ejen insuran supaya lebih bertanggungjawab dan bersikap profesional dalam mempromosikan produk mereka tanpa perlu memperlekehkan perkhidmatan di hospital-hospital kerajaan.
Dr Mahyuddin Mohamed dalam postingnya di laman sosial Facebook kesal kerana ada ejen insuran yang menggembar-gemburkan fakta yang tidak betul secara membuta-tuli dan melakukan strategi menakut-nakutkan orang ramai.
Mengakui secara peribadi beliau sendiri berpendapat setiap individu di Malaysia kini perlu dilindungi dengan insuran/medical card berikutan kos perubatan yang meningkat namun tidak bermakna ejen insuran boleh ‘menjual’ fakta yang tidak betul untuk menarik pelanggan.
Beliau merujuk kepada satu posting di Facebook oleh seorang ejen insuran mengenai rawatan bagi seseorang yang kemalangan dan mengalami kepatahan pada tulang paha.
Dengan rasa kesal Dr. Mahyuddin mengulas satu persatu fakta yang tidak benar dipaparkan oleh ejen insuran berkenaan berdasarkan pengalamannya yang pernah berkhidmat di hospital swasta dan kerajaan.
Berikut penjelasan Dr. Mahyuddin.
3 BULAN UNTUK OPERATE TULANG PATAH?
Saya dimaklumkan dengan post Facebook oleh seorang ejen insuran yang menyertakan gambar xray tulang peha yang patah dan kenyataan berbunyi:
- Hospital Kerajaan – mengambil 3 bulan baru boleh operation kerana ramai waiting list dan perlu sediakan RM7000 untuk kos besi.
-
Hospital Swasta – secepat mungkin tetapi kos operation 20 ribu &
perlukan 16 ribu sebagai deposit jika tidak mempunyai medical card.
Saya akan komen berkenaan Hospital Kerajaan secara terperinci kerana saya kini bertugas di Hospital Kerajaan dan status ini adalah satu PENIPUAN yang nyata. Ia MENFITNAH kami, MENCALAR IMEJ & PERKHIDMATAN Kementerian Kesihatan Malaysia dan MEMBURUKKAN KERAJAAN MALAYSIA.
Kepatahan tulang peha (fracture femur) bagi pesakit dewasa perlu dirawat secara pembedahan dan memasukkan besi bagi mengelakkan kaki menjadi pendek. Ia tidak boleh dirawat dengan simen. Apatah lagi jika anda mahu urut, balut atau ketuk. Memang pendek la jawabnya.
Pembedahan 3 Bulan?
Pembedahan tidak pernah ambil masa 3 bulan untuk di bedah. Bagi kes-kes closed fracture (tiada luka yang menembusi ke tulang yang patah) Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai KPI (Key Performance Indicator) iaitu dibedah dalam tempoh 7 hari (lihat gambar).
Paling lama tempoh menunggu yang saya pernah lihat adalah 2 minggu itu pun adalah kerana faktor-faktor tidak dapat dielakkan. Ada masanya pembedahan terpaksa dilewatkan kerana keadaan pesakit tidak stabil dan membenarkan seperti jangkitan kuman, keadaan kulit atau tisu yang teruk, demam dan kecederaan organ lain (otak, usus, hati, limpa). Pembedahan dilewatkan bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Nyawa sentiasa lebih penting dari kaki atau tangan.
Jika Open fracture dimana ada luka yang bersambung ke kepatahan, pembedahan akan dibuat secepat mungkin, biasanya kurang daripada 24 jam bergantung kepada situasi bilik bedah.
Besi 7 ribu?
Harga besi atau implan bagi kepatahan femur seperti dalam xray TIDAK PERNAH SAMPAI 7 ribu. TIADA IMPLAN FEMUR SHAFT FRACTURE BERHARGA 7 RIBU SEPANJANG PERKHIDMATAN SAYA SEBAGAI PAKAR ORTOPEDIK.
2 jenis implan yang biasa digunakan bagi kepatahan jenis ini adalah Interlocking Nail (ILN: besi yang dimasukkan dalam tulang) dan Plate (besi yang diletak di atas tulang). (Sila lihat gambar nail & plate)
Harga ILN adalah dalam lingkungan RM1000-1300 manakala plate stainless steel pula diperuntukkan secara percuma kepada pesakit. Jadi plate adalah PERCUMA tuan-tuan! (PERCUMA kerana kerajaan kita bermurah hati membayar harga implan ini). Plate stainless steel ini PERCUMA bagi warganegara, pelajar sekolah & rakyat Malaysia yang tiada insuran.
Ada juga plate khas yang kami sebut sebagai Locking plate jenis Titanium yang perlu digunakan bagi jenis kepatahan tertentu. Namun kosnya TIDAK PERNAH mencecah 7 ribu.
KESIMPULAN
Secara peribadi, saya sendiri berpendapat setiap individu di Malaysia kini perlu dilindungi dengan insuran/medical card berikutan kos perubatan yang meningkat.
Medical card akan membolehkan anda mendapat rawatan di hospital swasta, yang kebiasaannya akan lebih cepat kerana pesakit tidak seramai hospital kerajaan.
Namun, ejen insuran perlu professional, melengkapkan diri dengan info yang betul dan memberikan fakta yang tepat kepada bakal pelanggan. Strategi menakut-nakutkan atau memberi fakta secara membuta-tuli sebegini adalah amat tidak bertanggungjawab. Jaga keberkatan rezeki anda.
#DrMahyuddin
Pakar Ortopedik
Sementara itu, menerusi ruang komen, rata-rata termasuk kalangan ejen insuran bersetuju dengan teguran Dr. Mahyuddin. Mereka berpendapat, fakta yang dipaparkan oleh ejen insuran berkenaan adalah keterlaluan dan boleh mengelirukan orang ramai.
Ada juga ejen insuran yang berterima kasih kepada Dr. Mahyuddin kerana memberi penjelasan panjang lebar yang menjadi ilmu buat mereka. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan