Khamis, 15 Februari 2018

Masih ada masa untuk Syed Azman walau sudah jauh menyimpang

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: ADUN Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi sudah terlalu jauh menyimpang dari perjuangan PAS dan sukar untuk beliau diterima kembali dalam parti berkenaan.
 
Bagaimanapun menurut Ketua Penerangan PAS Pengkalan Chepa Ahmad Fathan Mahmod, masih ada masa untuk Syed Azman kembali kepada landasan perjuangan PAS.
 
Syed Azman kini bersendirian selepas Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar keluar PAS. Syed Azman sebelum ini sering dilihat bersama Mahfuz yang cenderung ke arah Pakatan Harapan (PH).
 
"Gerakan beliau (Syed Azman) sudah bersama mereka (PH) dah cuma belum isytihar lagi.
 
"Bagi kita kalau mereka boleh istiqamah, konsisten dengan perjuangan PAS maka itu lebih baik," katanya kepada Antarapos.
 
Bagaimanapun beliau menegaskan Syed Azman bakal berdepan laluan getir untuk mendapatkan kembali kepercayaan serta keyakinan pimpinan PAS pelbagai peringkat.
 
"Tapi kena buktikanlah kerana orang melihat daripada awal apa yang berlaku, kecenderungan beliau dan kenyataan yang dikeluarkan.
 
"Maknanya sedikit sebanyak menghiris perasaan pimpinan PAS terutama pengundi di Terengganu itu sendiri," katanya.
 
Ahmad Fathan yang juga ADUN Chempaka menambah kecenderungan Syed Azman menyokong PH yang diketuai DAP, namun tidak keluar PAS telah menghiris kepercayaan rakyat dan juga jentera parti yang membantu memenangkan beliau dalam pilihan raya umum lalu.
 
"Jadi dalam keadaan sekarang kita tak tahu sejauh mana rakyat dan penyokong PAS boleh percaya kepada beliau tapi beliau kena tunjuk satu bukti.
 
"Pada saya masa untuk patah balik kepada PAS tiada masalah cuma masalahnya apakah pimpinan akan yakin kepada beliau sebab semua pimpinan PAS yang jadi wakil rakyat angkat sumpah baiah tapi itu pun mereka boleh langgar," katanya.
 
 
 

Tiada ulasan: