SHAH ALAM: ADUN Pelabuhan Klang yang juga bekas Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh bertanding pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) mewakili PAS tanpa perlu menyertai parti berkenaan.
Perkara itu dibayangkan Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi.
"Saya rasa tidak perlu untuk beliau menyertai PAS buat waktu ini. Mungkin beliau rasa tidak selesa melakukannya sekarang.
"Jika beliau mahu bertanding menggunakan tiket PAS atau Bebas, macam mana pun kami akan sokong dia.
"PAS boleh mendapatkan kerusi yang sesuai untuk Khalid," katanya seperti dipetik New Straits Times semalam.
Menurut Sallehen jika Abdul Khalid mahu bertanding sebagai calon bebas
PAS di kerusi yang turut disasarkan parti itu, mereka sedia
mempertimbangkan untuk memberi laluan kepadanya.
Malah menurut ADUN Sabak itu, hubungan PAS dengan Abdul Khalid memang
terjalin baik sejak 2008, justeru Khalid bukanlah orang asing kepada PAS
"PAS Selangor sentiasa memberi sokongan penuh kepada beliau semasa menjadi menteri besar.
"Khalid mentadbir Selangor dengan begitu baik, telus dan sangat dihormati sebagai tokoh korporat," katanya.
Sebelum ini Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd
Shahir yang dipetik Sinar Harian berkata, PAS sedia menawarkan kerusi
kepada Abdul Khalid dengan syarat, pemimpin itu menyertai PAS.
Roslan Shahir dipetik sebagai berkata, fasa memujuk Abdul Khalid
berterusan, namun PAS menghormati pendirian ADUN Pelabuhan Klang itu
yang memilih untuk kekal sebagai ADUN Bebas.
Abdul Khalid sebelum ini berkali-kali menyatakan enggan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau bagaimanapun dilihat kerap hadir ke program anjuran PAS, namun
menyatakan dirinya hanya menyokong parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi
Awang itu.
Hadi dalam kenyataannya baru-baru ini berkata PAS berhasrat membentuk
kerajaan di Selangor, yang kini dipimpin PKR di bawah teraju Datuk Seri
Azmin Ali.
Pada PRU13 lalu, PAS memperoleh 15 kerusi DUN di Selangor, menjadi antara parti memperoleh kerusi majoriti di samping DAP.
Namun bilangan itu berkurangan menjadi 13 selepas dua wakil rakyatnya menyertai Amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan