Sabtu, 10 Februari 2018

Kerajaan negeri salahkan pemaju gagal bina Rumah Selangorku

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor terus menyalahkan pemaju berhubung keputusan pembatalan sembilan projek Rumah Selangorku yang diluluskan sebelum ini.
 
Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata projek itu terpaksa dibatalkan selepas pemaju melanggar beberapa syarat.
 
"(Exco Selangor) Datuk Iskandar telah keluarkan kenyataan. Ada beberapa syarat yang tidak dipatuhi oleh pemaju maka itu memang kerajaan negeri bertindak tegas. 
 
"Sekiranya mereka tidak mengemukakan plan pembangunan atau kebenaran merancang dalam tempoh tertentu maka mereka perlu diberikan satu notis peringatan. Ia kerana kita mahu pemaju ini segera membina rumah Selangorku dalam Selangor," katanya kepada pemberita selepas Program Konvokesyen Pengajian Bersijil Kali-17 di Shah Alam sebentar tadi.
 
Azmin berkata tindakan tegas perlu diambil sejajar dengan kehendak kerajaan negeri, iaitu lebih menumpukan pembangunan perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah.
 
"Kalau tidak mereka hanya akan tumpu pada projek mewah. Kita mahu pemaju ini jangan tumpu pada projek yang bernilai tinggi sahaja. Mereka juga bertanggungjawab untuk memenuhi keperluan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana. 
 
"Jadi tindakan tegas perlu diambil," tegasnya.
 
Sebelum ini, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar A. Samad memaklumkan kerajaan negeri pimpinan Azmin membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku yang sudahpun diluluskan sebelum ini.
 
Jelasnya, keputusan itu dibuat semasa Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku berikutan kegagalan pemaju mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
 
Pembatalan berkenaan melibatkan tiga projek di Kajang, dua projek di Selayang dan masing-masing satu projek di Subang Jaya, Shah Alam, Ampang Jaya dan Klang.
 
 

Tiada ulasan: