SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara
30 bulan kerana mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot
Corporation (NFC) dan pengerusinya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh
Ismail.
Naib Presiden PKR bersama seorang lagi tertuduh, bekas kerani bank
Johari Mohamad didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen, Shah Alam hari
ini kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).
Hakim Mahkamah Sesyen Zamri Bakar berkata, pihak pendakwa telah
membuktikan perkara itu melampaui keraguan munasabah, lapor BH Online.
Rafizi, didakwa atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki
akaun bank milik NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience
Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh kepada perunding media
Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant
Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.
Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Bafia yang boleh dihukum
mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara
maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan
Rafizi sebelum ini disahkan hilang kelayakan sebagai calon pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selepas didapati bersalah di bawah Akta
Rahsia Rasmi dan dihukum penjara 18 bulan dalam kes memiliki dan
mendedahkan laporan Pengauditan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB),
Mac 2017.
Mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli
Parlimen yang didapati bersalah oleh mahkamah dan dipenjara melebihi
setahun atau denda melebihi RM2,000, boleh dilucutkan jawatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan