Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Hanya ADUN-ADUN PAS difahamkan belum diberi kelulusan
untuk menggunakan peruntukan tahunan RM800,000 yang diluluskan oleh
kerajaan negeri Selangor, kata Exco Kerajaan Negeri Datuk Iskandar Abdul
Samad.
Justeru, pimpinan PAS Selangor berhasrat mendapatkan penjelasan
mengenai perkara itu daripada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin
Ali, kata beliau.
“Saya difahamkan (ia melibatkan) ADUN PAS sahaja,” ujar beliau, merujuk kepada kekangan untuk memperolehi peruntukan berkenaan.
Iskandar yang juga ADUN Cempaka berkata, ‘pembekuan’ berkenaan adalah
satu realiti yang dihadapi oleh semua ADUN PAS di Selangor.
“Memang kami diberitahu oleh pejabat daerah bahawa ianya (peruntukan) tak dapat dikeluarkan,” kata beliau kepada Antarapos.
“Sekarang ini apa yang berlaku adalah (bagi) ADUN-ADUN PAS, kita
terpaksa guna peruntukan sendiri, bermakna duit sendiri lah yang kita
guna (untuk laksana program).
“Program kita masih berjalan, (tapi) kita guna duit peribadi,” tambah beliau.
Beliau difahamkan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi akan
berusaha mengatur perjumpaan dengan Azmin untuk mendapat penjelasan
mengenai isu itu secepat mungkin.
Menurut Iskandar, pihaknya dimaklumkan bahawa peruntukan untuk ADUN
sememangnya sudah sampai ke pejabat daerah, namun ia tidak dapat
dikeluarkan oleh wakil rakyat PAS.
“Pada Isnin lalu, ada satu mesyuarat ..kalau tak silap saya, ada
pegawai daerah telah memanggil pegawai-pegawai pusat khidmat mengatakan
(peruntukan) masih lagi belum boleh dibawa keluar.
“Saya harap ia dapat diselesaikan sebab kita akan teruskan dengan program-program kita,” katanya.
Iskandar menegaskan perjumpaan antara Azmin dan PAS Selangor harus
diadakan secara rasmi kerana ia mempunyai impak besar ke atas kebajikan
rakyat.
“Saya merasakan kita boleh berjumpa secara peribadi dengan menteri
besar tapi saya mahu supaya ia diadakan perjumpaan secara rasmi dan
direkodkan.
“Kita minta penjelasan tapi…kerana ini libatkan perkara besar, kita tak
boleh bincang tepi jalan saja. Jadi perlu ada satu mesyuarat yang
khusus antara pesuruhjaya (PAS) dengan pihak Datuk Seri Azmin.
“Saya harap supaya dapat diselesaikan sebab implikasinya meluas kerana
ia melibatkan rakyat. Duit itu adalah untuk diberi kepada rakyat, kalau
ianya disekat, yang rugi bukan ADUN tetapi rakyat,” kata beliau.
“Walaubagaimanapun dari segi gerak kerja, ADUN-ADUN PAS, kita tak
berhentikan gerak kerja malah kita punyai tanggungjawab kepada rakyat,
jadi kita perlu meneruskan tanggungjawab tersebut sama ada ada
peruntukan atau tidak,” katanya lagi.
Azmin sebelum ini berkata peruntukan itu mungkin belum dapat disalurkan kepada ADUN-ADUN berkenaan kerana masalah teknikal.
Beliau menyatakan kesediaan untuk berjumpan dengan pimpinan PAS Selangor untuk memerinci isu berkenaan.
Pimpinan PAS sebelum ini menegaskan parti itu masih sebahagian daripada
kerajaan negeri Selangor, justeru berhak mendapatkan peruntukan wakil
rakyat sebagaimana yang diperolehi oleh ADUN PKR dan DAP.
Bagaimanapun, Naib Presiden PKR Dr Xavier Jeyakumar mendakawa PAS tidak
boleh menuntut peruntukan berkenaan jika nekad mahu menentang PKR dan
parti komponen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
PAS menamatkan kerjasama dengan PKR dan DAP diperingkat nasional namun
kerajaan negeri Selangor yang dibentuk mereka di bawah payung PH di
kekalkan sehingga PRU 14 diadakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan