Rabu, 7 Februari 2018

Dua parah treler rempuh plaza tol

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Dua parah, manakala tiga lagi selamat selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan empat kereta di Plaza Tol Bukit Kemuning di Lebuhraya KESAS dari arah Klang menuju ke Shah Alam, malam tadi.
 
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri, berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar bersama 13 anggota dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.34 malam.
 
"Setibanya di lokasi, kami mendapati kemalangan itu membabitkan lima mangsa dengan dua daripada tersepit dalam kenderaan mereka. Kami berjaya mengeluarkan mereka.
 
"Tiga lagi pemandu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
 
Alimaddia berkata, kedua-dua mangsa yang parah itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Baharuddin Mat Taib berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah treler dengan kereta Toyota Vios, PERODUA Alza, PROTON Saga dan Peugeot.
 
"Pemandu treler dan PROTON Saga tersepit dalam kenderaan masing-masing yang remuk teruk dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba," katanya sambil menyatakan pihaknya sedang menyiasat punca kemalangan berkenaan.
 
Kemalangan itu dipercayai berlaku selepas treler berkenaan terlanggar kereta PROTON Saga yang sedang menunggu giliran di plaza tol itu sebelum merempuh tiga kereta yang lain dan terhenti di tembok penahan pada plaza tol terbabit.
 
Tinjauan di lokasi mendapati kerja mengalihkan kesemua kenderaan terbabit sedang dijalankan.
 
Seorang mangsa yang terselamat, Ashraf Abdul Halim, 28, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan menjemput isterinya untuk keluar makan malam di Shah Alam.
 
"Ketika mengeluarkan duit untuk bayar tol, saya terdengar bunyi brek yang sangat kuat. Beberapa saat kemudian kereta saya dilanggar dari belakang sehingga menyebabkan ia berpusing.
 
"Waktu itu, apa yang saya fikir adalah isteri saya yang baru saja disahkan hamil. Inai pun masih melekat di tangan berikutan saya baru saja melangsungkan perkahwinan Disember lalu. Tetapi Alhamdulillah, Allah masih panjangkan lagi usia saya," katanya.
 
Pemandu kereta PERODUA Alza, Muhd Amirul Abdul Halim, 25, berkata, dia dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengambil rakannya.
 
Katanya, dia bersyukur terselamat dalam kemalangan yang turut menyebabkan kerosakan teruk pada kenderaannya.
 
"Terima kasih kepada orang ramai yang membantu saya keluar daripada kereta. Selepas kemalangan itu, pintu kereta tak boleh dibuka serta minyak diesel daripada treler sudah memercik keluar dari tangki minyak.
 
"Orang ramai yang bukakan pintu tu. Kalau tidak saya tak tahu apa yang akan terjadi kepada saya," katanya

Tiada ulasan: