HULU TERENGGANU: PAS
mempersoalkan sikap Kerajaan-BN Terengganu dan Pusat yang langsung tidak
mahu membina jalan dari Kuala Telemong ke Kuala Jeneris yang masih lagi
belum dibuat sejak dahulu.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz
Kamaruzaman Abdullah berkata, kerajaan negeri mempunyai bajet melebihi
RM 1 bilion setiap tahun, sedangkan jalan tersebut hanyalah kira-kira 10
kilometer sahaja panjangnya.
"Hanya kira-kira jaraknya 10 kilometer
sahaja. Walaupun ia dinyatakan sebagai pakej ke lapan, apa salahnya
kalau ia dibuat dan disiapkan. Apabila siapnya jalan ini, sudah pasti
akan merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.
"Walaupun bajet banyak setiap tahun
tetapi perkara yang menjadi keselesaan rakyat dibelakangkan," persoalnya
meninjau sendiri kedua-dua sisi jalan yang tergendala tersebut.
Menurutnya, di sebelah Kampung Kuala
Jeneris, jambatan yang bernilai jutaan Ringgit telah pun siap, namun
jalan tersebut yang telah dibina sebahagiannya, terbiar begitu sahaja.
Menurutnya, di antara sambungan jalan
dari Kuala Telemong papan tanda telah siap dibina tetapi dibiarkan
begitu sahaja ditenggelami semak.
"Sekiranya jalan ini disiapkan, betapa
singkatnya perjalanan, pengguna dari Kuala Lumpur boleh terus mengambil
jalan pintas setelah keluar dari (Lebuh Raya Pantai Timur 2) terus ke
Kuala Jeneris dan Tasik Kenyir," ujarnya.
Beliau berkata, rakyat negeri Terengganu
boleh melihat sendiri pembinaan Politeknik Hulu Terengganu sangat pesat
dan dijangkakan akhir tahun ini disiapkan.
Oleh itu kata beliau, alangkah baik,
sekiranya jalan ini dapat disegerakan kerana ia sudah pasti meringankan
beban perjalanan ibu ayah dan pelajar-pelajar serta tenaga pengajar yang
terlibat.
"Begitu jugalah bandar baru bebas cukai
Tasik Kenyir, rakyat Terengganu lihat sendiri bagaimana 'signboard' Gua
Musang, Simpang Pulai, Sungai Tong, Kuala berang dah siap di bina tetapi
dibiarkan sahaja ditumbuhi dengan semak samun," katanya.
Beliau menasihatkan agar pemimpin Umno
dan BN Negeri Terengganu berwaspada dalam mengurus hasil negeri yang
begitu banyak, tetapi dari sudut kebajikan rakyat tidak diberi
kecaknaan.
"Kita mohon sungguh-sungguh kepada yang bertanggungjawab khususnya pemimpin Umno-BN, selamilah keperluan rakyat.
"Kenapakah jalan ini tidak di segerakan
sedangkan sudah bertahun-tahun perkara ini di uar-uarkan pada wakil
rakyat di sini?" pertikainya.
Justeru, beliau mendesak supaya pemimpin
Umno dan BN yang memimpin negeri Terengganu pada hari ini, agar
menyegerakan projek tersebut, untuk keselesaan rakyat jua.-HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan