Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Selangor diyakini akan mencapai kata
sepakat bersabit soal agihan kerusi DUN di negeri itu tanpa perlu
membawa perkara berkenaan ke peringkat Majlis Presiden, kata
pengerusinya, Datuk Seri Azmin Ali.
"Saya yakin pimpinan negeri mampu menangani masalah ini," katanya
kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian kad program KISS
di Pangsapuri Keramat Pangsa di sini petang tadi.
Timbalan Presiden PKR itu juga berkata, isu ketidakpuasan hati Amanah
dan PPBM bersabit agihan kerusi merupakan sebahagian daripada proses
demokrasi.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan mesyuarat jawatankuasa agihan
kerusi yang dipengerusikan Setiausaha PH Selangor, Zuraida Kamaruddin
semalam berlangsung dalam suasana yang tegang ekoran PPBM dan Amanah
tidak berpuas hati apabila PKR diperuntukkan 19 kerusi DUN.
Portal itu yang memetik sumber juga melaporkan, berdasarkan keputusan
awal, PKR dikatakan akan bertanding 19 kerusi DUN, DAP (18), PPBM (10),
dan Amanah (9).
Menurut sumber itu, PPBM dan Amanah masing-masing mahu bertanding di 12
kerusi disandang Barisan Nasional (BN) serta 13 kerusi milik PAS.
PPBM Selangor dilaporkan berkata, PKR mahukan semua kerusi Umno yang
sepatutnya ditandingi mereka, manakala Amanah juga dilaporkan tidak
berpuas hati dengan agihan kerusi negeri.
"Ketidakpuasan itu maknanya demokrasi subur. Obama pernah menyebut
'democracy is a noisy process'. Maknanya demokrasi ini riuh, kalau dia
diam saja tak berani buka mulut, maknanya itu diktator. Jadi sekarang
ada pandangan, cadangan...itu bagus," katanya.
Azmin menambah, setiap parti dalam PH juga perlu kembali kepada akar
umbi masing-masing untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan mengenai
rundingan yang dijalankan.
"Kita sangat demokratik, bukan seperti di sebelah sana. Kita harus
merujuk kepada akar umbi kerana akhirnya mereka yang akan bekerja.
"Saya lihat ini satu perkembangan positif, saya yakin ianya boleh
diselesaikan kerana kepimpinan PH adalah mereka yang bertanggungjawab
yang mahu memenangi dan mempertahankan kerajaan negeri," katanya lagi.
Rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor sepatutnya diselesaikan pada
31 Januari lepas, namun dilanjutkan kepada 7 Februari berikutan
pertikaian antara keempat-empat komponen PH.
Bagaimanapun pengagihan kerusi berkenaan masih belum selesai sungguhpun sudah dua kali melepasi tarikh akhir yang ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan