Rabu, 7 Februari 2018

Azmin diberi tempoh sehingga Tahun Baru Cina

Shawaliah Hadir
Sallehin Mukhyi


SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diberikan tempoh sehingga perayaan Tahun Baru Cina untuk selesaikan masalah dana yang sepatutnya diterima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Penyelaras Pas di negeri itu.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehin Mukhyi berkata, mesyuarat hari ini bersepakat untuk ‘bersangka baik’ terhadap Azmin dan menggunakan inisiatif untuk bertemu dengannya dalam waktu yang terdekat sebagai langkah awal.

“Kami masih bersangka baik dengan Menteri Besar yang peruntukan akan turun dalam masa yang terdekat dan kami peringkat awal mengambil keputusan menunggu surat rasmi dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor untuk mengarahkan peruntukan boleh digunakan di semua pejabat.

“Dalam mesyuarat Pas hari ini, kami mengambil keputusan Pas akan bertemu dengan Menteri Besar, saya sendiri telah mengeluarkan pesanan ringkas keada Menteri Besar,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat Pas Selangor di sini.

Jika tidak ada khabar baik dalam tempoh dua minggu ini, tambah Sallehin, Pas Selangor akan mengambil tindakan selanjutnya termasuk membuat kenyataan rasmi.

Isu mengenai peruntukan kepada Adun dan Penyelaras kawasan Pas timbul selepas Sallehin sendiri mendedahkannya pada Januari lalu.

Maklumat itu jelasnya, sebelum ini diketahui daripada Unit Perancang Ekonomi negeri.

Bagaimanapun Azmin menafikan sambil menyifatkannya ia dakwaan tidak berasas dan dalam masa yang sama berlaku masalah teknikal yang mengakibatkan kelewatan saluran dana.

Mengulas lanjut Sallehin berkata, kejadian itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan  Azmin sepatutnya menghebahkan surat rasmi jika wujudnya peraturan baru arahan baru termasuk memerlukan ADUN mengadakan pertemuan dengannya.

“Itu bukan amalan yang berlaku sebelum ini sebab itu kalau ada peraturan dan arahan baru Menteri Besar boleh keluarkan menerusi pekeliling. Berjumpa baru dapat, bukan amalan,” katanya lagi.

Menurut Sallehin, lazimnya setiap ADUN akan meneuma RM800,000 manakala RM600,000 diperuntukkan kepada penyelaras kawasan. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan: