TH E MALAYSIAN TIMES
MELAKA: Sejak penubuhan Unit Bahagian Counter Terrorism Kontinjen Melaka pada Mei 2016 sehingga kini, seramai lapan individu yang tinggal di negeri ini telah ditahan kerana dikenal pasti terlibat dalam kegiatan militan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan berkata tangkapan terbaharu melibatkan dua lelaki masing-masing warga asing dan tempatan pada Disember tahun lepas dan Januari 2018 kerana dikesan merancang serangan di pusat hiburan di ibu negara dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Beliau berkata tujuan serangan yang dilakukan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi merampas senjata api untuk kegunaan serangan dan ia membuktikan betapa seriusnya ancaman itu.
“Tangkapan berkenaan menunjukkan satu indikator yang sangat serius dan memerlukan pemantauan rapi secara berterusan dalam usaha mematah dan merencatkan penularan fahaman ekstremisme yang dilihat umpama virus atau wabak dalam kalangan masyarakat.
“Jika dahulu jumlah penyokong Jemaah Islamiah yang ditahan dalam tempoh 10 tahun hanya kira-kira 300 orang sahaja tetapi keadaan semakin membimbangkan kerana lebih 300 penyokong Daesh ditahan dalam tempoh empat tahun kebelakangan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Jalil berkata semua anggota digesa sentiasa berhati-hati serta tanamkan perasaan curiga terhadap persekitaran sekeliling dalam usaha untuk memastikan keselamatan petugas, senjata api dan balai sentiasa berada pada tahap maksimum.
Beliau berkata selain aspek keselamatan, anggota polis khususnya daripada Jabatan Cawangan Khas perlu arif dengan pelbagai aplikasi atau teknologi termasuk media sosial seperti ‘Facebook’, ‘WhatsApp’ dan ‘Instagram’ yang digunakan kumpulan pengganas tersebut sebagai medium untuk menyebarkan ajaran yang kononnya ditafsirkan sebagai ‘jihad suci’.
“Ancaman kini lebih canggih dan sukar dikesan melalui penggunaan teknologi yang semakin canggih dan lebih pantas berbanding cara dahulu melalui usrah dan perjumpaan sulit,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata seramai 2,900 anggota dan pegawai polis termasuk 700 orang dari Bukit Aman akan ditugaskan bagi memantau dan menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan pada masa terdekat.
Beliau berkata pihaknya hampir selesai menjalani latihan amal simulasi PRU14 dengan latihan terakhir pada 3 dan 4 Mac ini bagi mempersiapkan anggota dan pegawai terlibat dengan situasi sebenar sepanjang proses pilihan raya tersebut.
Katanya pihaknya turut mengenal pasti dua lokasi panas yang menjadi tumpuan penyokong dan parti politik dalam perebutan kerusi dan strategi menghadapi situasi tersebut telah dirangka bagi mengekang sebarang kekacauan yang boleh mengganggu proses PRU14.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan