KUALA LUMPUR: Satu pasukan khas akan ditubuhkan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat laporan audit negara sekiranya
terdapat isu rasuah atau salah guna kuasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya telah
menerima laporan yang dikeluarkan semalam, dan pegawainya akan
menelitinya secara terperinci.
“Kita telah mengenal pasti beberapa isu dan selepas meneliti laporan
audit tersebut, kita akan ambil tindakan seterusnya,” katanya dalam
sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sahabat Gerakan
Revolusi Anti Rasuah (Gerah) SPRM di Hotel Ansa, Bukit Bintang di sini
hari ini.
Semalam laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 dibentangkan di Dewan Rakyat.
Antara yang dilaporkan adalah, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga
(Tekun Nasional) mengalami kerugian terkumpul pada akhir 2015 berjumlah
RM209.28 juta.
Kerugian itu disebabkan faktor tadbir urus korporat kurang memuaskan.
Audit juga mendapati tiada kajian menyeluruh dijalankan untuk menilai keberkesanan penggunaan dana oleh usahawan.
Laporan itu menyatakan antara kerugian melibatkan kegagalan
pelaksanaan Portal Keusahawanan Tekun, Kad Komuniti UsahawanTekun dan
Cyber Mall yang kesemuanya berjumlah RM872,035.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan