Selasa, 29 Ogos 2017

Siapa lagi yang baca Utusan?

 
 
Oleh Amran Ahmad 

SAYA cukup bersetuju dengan pandangan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Zainuddin Maidin yang berkata, para pembaca akhbar tersebut telah “lari” kepada media lebih seimbang.

Hakikatnya, para pembaca terutama masyarakat Melayu hari ini lebih memerlukan media yang seimbang kerana telah muak dengan berita berat sebelah, bermotifkan agenda politik pihak tertentu dan tidak adil.

Inilah pentingnya kebebasan media yang selama ini dilaung-laungkan oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ), kerana akibat tiadanya kebebasan media, Utusan akhirnya kehilangan pembaca ekoran sering menyajikan berita-berita yang pro kerajaan semata-mata sehingga tahap “menjilat” pemilik akhbar itu, Umno.

Akibatnya, penurunan jumlah pembaca dan jualan akhbar tersebut memberi kesan langsung kepada kedudukan kewangan syarikat yang kini khabarnya berdepan masalah kewangan dan asyik mengalami kerugian dalam laporan kewangannya saban tahun.


Lebih daripada itu, keputusan kewangan yang teruk akibat Utusan kehilangan pembacanya menyebabkan para pekerja Utusan termasuk wartawan dan jurugambarnya terus dihimpit masalah sehingga ada kalanya gaji lambat dibayar.

Itu belum termasuk kegagalan antara NUJ Utusan dan majikannya untuk memeterai perjanjian bersama yang khabarnya sudah tertangguh sejak bertahun lamanya. –

* Amran Ahmad adalah bekas pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu yang dibuang kerja pada 2009

Tiada ulasan: