SHAH ALAM: Susulan hasrat DAP yang mahu bertanding kerusi PKR di Johor,
Pengerusinya Hassan Karim menegur cara penasihat DAP Lim Kit Siang
dalam menyatakan perkara berkenaan.
Ujar beliau, Kit Siang sepatutnya memberitahu hasrat itu mengikut saluran yang betul dan dibincangkan terlebih dahulu.
“Kami ingin mengulang sekali lagi bahawa ada disediakan mekanisme
pengagihan kerusi sesama anggota Pakatan Harapan (PH) dan diharap semua
pemimpin parti komponen mematuhinya, bukan menyatakan secara terbuka di
blog atau media,” kata Hassan dalam satu kenyataan hari ini.
Tidak cukup dengan hasrat DAP sebelum ini yang mahu bertanding kerusi
PKR di Kedah, kali ini Kit Siang sekali lagi menyatakan perkara yang
sama tapi mensasarkan kerusi PKR di Johor pula.
Dua minggu lalu, pemimpin veteran DAP itu mencadangkan mereka diberi
dua kerusi yang ditandingi PKR - dan kalah - di Kedah dalam PRU ke-13
untuk memastikan kemenangan PH.
Kerusi itu ialah Gurun dan Kulim.
Walaupun PKR Kedah bersikap terbuka dengan adangan berkenaan, naib
presiden parti itu Tian Chua berkata Kit Siang seharusnya
membincangkannya secara dalaman.
PKR Johor bagaimanapun kelihatan seperti tidak bersedia untuk
melepaskan mana-mana tiga kerusi yang dinyatakan ketua anggota parlimen
DAP itu.
Hassan berkata PKR bekerja keras di peringkat akar umbi sejak 2013 di
kerusi-kerusi itu, dan sudah mengenal pasti calon berpotensi yang telah
dilantik sebagai penyelaras.
“Mereka yang dilantik itu dan pasukan masing-masing bekerja keras sejak
beberapa tahun lalu dan kami sangat yakin mereka adalah individu
terbaik yang mampu menarik pengundi dan mencipta sejarah memenangi
kerusi Johor Bahru, Pasir Gudang dan Tebrau," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan