Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik berpendapat keputusan Pakatan
Harapan (PH) untuk tidak lagi mahu mengadakan rundingan kerjasama
bersama PAS berkemungkinan 'dipengaruhi' oleh DAP.
Pensyarah kanan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Edwin Michael
Muniandy mendakwa, keputusan itu dilakukan PH kerana mahu menjaga hati
rakan partinya itu yang dilihat kurang senang dengan ideologi politik
yang dibawa PAS sejak dahulu lagi.
"Saya lihat mungkin ada campur tangan halus DAP di sini untuk tidak
mahu menerima PAS dalam PH, mungkin DAP mahu PAS menggunggurkan ideologi
politik mereka iaitu untuk memperjuangkan undang-undang hudud dan
undang-undang Islam sebelum menyertai PH, jadi mungkin itu yang sedang
berlaku.
"Saya lihat dominasi DAP di sini adalah sangat kuat, jadi mungkin
tindakan menyingkirkan PAS daripada PH ini adalah semata-mata untuk
menjaga hati DAP," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Untuk rekod, hubungan kerjasama di antara DAP dengan PAS sudah terputus
sejak tahun 2015 sehingga membawa kepada terkuburnya Pakatan Rakyat
(PR).
Ia berpunca daripada pertelingkahan berpanjangan antara DAP dengan PAS
terutamanya dalam perihal yang membabitkan undang-undang Islam seperti
hudud.
Sementara itu mengulas lanjut, Edwin melihat hasrat PH untuk memenangi
PRU14 dan merampas Putrajaya akan gagal selepas mereka tidak lagi
bekerjasama dengan PAS.
Ujarnya, masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar hanya akan
memberikan undi mereka sama ada kepada PAS atau Umno-BN sahaja
seterusnya menyebabkan PH kehilangan majoriti pengundi Melayu.
"Pilihan Raya Umum ke-14 ini bukan lagi milik PH, itu sudah semestinya.
"Sekarang isunya adalah sama ada kita mengundi Barisan Nasional (BN)
atau PAS kerana kedua-duanya BN melalui Umno, kedua-duanya membawa
pendekatan yang sama.
"Semestinya mereka tidak akan mengundi PH terutamanya PPBM misalnya
jika PPBM meletakkan calon, ataupun Amanah kerana semua ini kita tahu
mereka adalah sekutu rapat kepada DAP, di mana masyarakat Melayu di
kawasan luar bandar tidak memberikan sokongan kepada parti-parti yang
mempunyai hubung-kait secara langsung dengan DAP," katanya.
Isnin lalu, PH mengumumkan untuk tidak lagi mengadakan rundingan kerjasama bersama PAS dalam mendepani PRU14 akan datang.
Keputusan itu sekaligus mengundang kejutan kerana dimuktamadkan di kala
kalangan pemimpin PKR sedang berdebat mengenai rundingan bersama PAS,
sehingga mewujudkan dua kumpulan yang bertentangan pendapat di dalam
parti tersebut.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, merupakan individu
yang dilihat cenderung dan mengambil inisiatif untuk mewujudkan
rundingan dengan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu,
sungguhpun selepas tahaluf siyasi antara kedua-dua parti terputus secara
rasmi Mei lalu.
Isu rundingan PKR-PAS timbul selepas tersebarnya gambar kunjungan Azmin
bersama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terhadap
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Malah Wan Azizah juga pernah dilaporkan berkata tidak menolak
kemungkinan jalinan kerjasama berikutan membawa misi yang sama dalam
kalangan pembangkang iaitu menumbangkan Umno-BN.
Pendirian pemimpin tertinggi PKR itu menyebabkan Ahli Parlimen
Selayang, William Leong mengumumkan peletakan jawatannya daripada Biro
Politik, ekoran tidak bersetuju dengan langkah tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan